Liga Hoki Melaka dihidupkan selepas enam tahun

Sukan

MELAKA: Persatuan Hoki Negeri Melaka (PHNM) menghidupkan semula Liga Hoki Melaka yang bermula 29 Disember hingga Februari tahun depan selepas terhenti hampir enam tahun sejak 2018.

Presiden PHNM, Datuk Rais Yasin berkata, liga itu diadakan dalam usaha menilai prestasi pasukan hoki negeri ini dan usaha menarik minat golongan remaja.

Menurutnya, liga membabitkan 50 pasukan itu juga menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat baharu bagi mewakili Melaka dalam menghadapi pelbagai kejohanan.

“Kejohanan ini melibatkan pasukan bawah 12 tahun untuk lelaki dan perempuan, bawah 15 tahun untuk lelaki sahaja serta terbuka lelaki serta perempuan. PHNM juga akan menghantar surat kepada sekolah-sekolah yang mempunyai pasukan hoki untuk menyertai liga ini bagi peringkat umur 12 tahun dan 15 tahun.

“Lebih menarik penganjuran liga ini, kita tidak mengenakan sebarang yuran pertandingan seperti kebiasaan penganjurannya dan kita mendapat kerjasama daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC),” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PHNM di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini, hari ini.

Tambah Rais, PHNM yakin ia mampu melahirkan lebih banyak pasukan hoki di negeri ini bagi mengikut jejak langkah beberapa pasukan ternama seperti MBMB, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Maybank.

“Dulu penganjuran liga ini sebelum terhenti pada 2018 mempunyai kemeriahan tersendiri, selain melahirkan ramai pemain dan diharap kembalinya liga ini mencapai sasaran yang sama,” ujarnya. – UTUSAN