Zahnita Wilson dedah diri jadi mangsa keganasan rumah tangga

Perniagaan

KUALA LUMPUR : Pelakon dan bekas peragawati terkenal, Zahnita Wilson, 39, mendedahkan, dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sekali gus mengejutkan banyak pihak terutama warganet.

Menurut Zahnita dalam satu hantaran di media sosial, ia juga menjadi punca mengapa pada kebanyakan waktu dia sentiasa mengenakan kaca mata hitam.

Katanya, ia bagi menyembunyikan lebam-lebam yang kelihatan pada wajah terutama pada bahagian mata.

“Saya tidak mahu melakukan ini (pendedahan). Tetapi saya terpaksa. Ini adalah sebab kenapa saya tinggalkan rumah lama saya. Dan juga menjadi sebab kenapa saya selalu pakai cermin mata hitam,” katanya.

Pendedahan pelakon filem Gila Gila Pengantin Remaja itu mengundang reaksi banyak pihak, termasuk rakan selebriti.

Nasib malang yang menimpa Zahnita itu kemudiannya turut mengundang simpati ramai dengan rata-ratanya menganggap ibu kepada empat cahaya mata tersebut tidak wajar diperlakukan sedemikian rupa.

Turut meninggalkan komen ialah selebriti terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim.

“Kamu tidak layak diperlakukan sebegini,” tulisnya.

“Sebab itulah kenapa kami sering bertanya kenapa awak selalu pakai cermin mata hitam. Semoga Allah hilangkan deritamu dan berikan kebahagian yang selayaknya,” komen netizen.

Sebelum ini Zahnita pernah berkongsi bahawa dirinya telah berpindah ke rumah baharu.

Namun rata-rata netizen beranggapan bahawa perpindahan tersebut adalah disebabkan mahu mengembangkan perniagaan pastri yang semakin mendapat sambutan ramai tanpa menghidu bahawa wujud sebab-sebab lain.

Sembilan tahun lalu, Zahnita pernah berkongsi kenyataan dengan pihak media bahawa sejak 2011, pernah wujud hasrat di hatinya untuk hidup sendiri tanpa suami.

Tidak cuma itu, Zahnita juga pernah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Abdul Zackery Ghouse namun masing-masing didakwa mahu mencuba menyelamatkan rumah tangga mereka.

Zahnita dan Abdul Zackery mendirikan rumah tangga pada tanggal 3 Jun sekitar 18 tahun lalu dan kini dikurniakan empat cahaya mata.-UTUSAN