Perak mahu tiada minuman manis di premis kerajaan negeri

Kesihatan

IPOH: Perak bercadang untuk tidak menyediakan minuman bergula di premis-premis kerajaan negeri dalam usaha  membanteras penyakit diabetis dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, kertas cadangan itu yang sedang dibangunkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri akan dikemukakan dalam mesyuarat Exco negeri.

“Jika kertas itu diluluskan, kesemua agensi-agensi kerajaan negeri Perak tidak akan menyediakan minuman bergula semasa mesyuarat atau di kafeteria,” katanya dalam sidang akhbar sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau yakin cadangan itu akan mendapat sokongan kepimpinan negeri dengan pameran berkenaan pengambilan gula yang berlebihan turut dipamerkan semasa sidang DUN. 

Tambahnya, setelah diluluskan, notis akan dikeluarkan kepada pihak penyediaan makanan untuk mematuhi arahan tersebut.

Dalam pada itu Sivanesan berkata, usaha yang dibuat itu telah bermula semasa penganjuran sambutan Deepavali negeri pada bulan lalu yang tidak menyediakan minuman manis.

“Kempen ‘perang terhadap gula’ ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mencegah rakyat Perak dari terus leka dan menjadi mangsa kepada penyakit-penyakit yang berkait dengan pengambilan gula secara berlebihan,” katanya.

Katanya, data terkumpul pesakit diabetes yang menerima rawatan di klinik kesihatan di negeri Perak sehingga 27 November 2024 adalah seramai 86,157 orang.

Daripada bilangan tersebut, seramai 1,292 orang berusia di bawah 35 tahun; 5,026 berusia antara 35 hingga 44; 11,846  berusia antara 45 hingga 54; 25,961 orang berusia antara 55 hingga 64 dan 42,032 orang lagi berusia lebih 65 tahun. – UTUSAN