TH sumbang hampir RM160,000 bantu pelajar asnaf

Perniagaan

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang hampir RM160,000 menerusi Program Bijak Bestari Kampung Bharu yang melibatkan kira-kira 100 orang pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kalangan asnaf untuk meningkatkan prestasi akademik mereka.

Program Bijak Bestari turut bertujuan membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan bagi menangani masalah keciciran pelajaran dan juga sebagai menyokong usaha kerajaan melalui inisiatif Kampung Angkat Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im berkata, program Kampung Angkat Madani dan Santuni Madani adalah inisiatif prihatin daripada kerajaan untuk memperkasakan komuniti luar bandar dan merapatkan jurang sosioekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Terima kasih dan tahniah kepada TH kerana menyahut usaha kerajaan Madani dalam menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti luar bandar, khususnya dalam aspek pembangunan pendidikan melalui Program Bijak Bestari Kampung Bharu ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut berkata program yang berlangsung dari 5 Oktober hingga 14 Disember 2024 itu merangkumi aktiviti seperti kelas tuisyen, kem motivasi, bengkel dan seminar pembelajaran bagi memupuk minat pelajar untuk terus hadir ke sekolah.

“Pihak kerajaan berharap usaha ini dapat memperkasakan lagi tahap pendidikan di semua peringkat masyarakat serta memberi sokongan khusus kepada pelajar, terutamanya daripada keluarga asnaf untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui program tambahan seperti kelas tuisyen dan kem pembangunan kendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, program yang mendapat kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu akan memfokuskan kepada pelbagai topik menarik seperti sains, keusahawanan, teknologi robotik, teknik menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) , prospek bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), perancangan kerjaya dan perkongsian ilmu daripada tokoh-tokoh bidang.

“Selain penganjuran seminar dan kelas-kelas tuisyen untuk pembangunan akademik, para pelajar ini juga akan menyertai kem dan bengkel-bengkel luar yang memberi fokus kepada penerapan nilai-nilai murni, selain pembangunan dan disiplin diri,” jelasnya.

TH sebagai organisasi Islam yang prihatin juga telah menyertai Program Kampung Angkat Madani dan Santuni Madani di mana TH telah menyumbang sebuah van jenazah bagi kegunaan qariah Mukim Telekung di Kuala Krai, Kelantan sebelum ini.

Selain itu, Kampung Dato’ Sri Amar Diraja, Muar, Johor telah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani TH di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung, di mana TH telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000 kepada Pusat Jagaan Bakti Murni dan Surau Al-Raudah bagi menampung kos pengurusan serta penambahbaikan kemudahan di samping melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan berkenaan bagi keselesaan penduduk setempat. – UTUSAN