Bersatu sasar menang PRN Sabah, PRU-16

Politik

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menzahirkan komitmen bagi menjana kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi, seterusnya mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia menjadi sasaran utama selepas tamat Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-7, sekali gus menjadi tekad untuk parti itu bekerja dalam satu pasukan di bawah kepemimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“PAT tahun ini berikrar akan terus bersama Presiden, Tan Sri Muhyiddin untuk membuat persiapan menghadapi PRNi Sabah dan juga Pilihan Raya Umum ke-16.

“Ibu Pejabat akan menyusul dengan beberapa tindakan untuk turun ke lapangan bagi membuat audit kekuatan jentera di semua bahagian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan sebelum Oktober tahun depan bagi memberi laluan PRN diadakan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, perbahasan perwakilan tahun ini dikatakan berkualiti dengan menyentuh pelbagai isu rakyat, membabitkan penambahbaikan pengurusan dan gerak kerja parti, cabaran geopolitik serta penyelesaian isu ekonomi negara dan rakyat.

“Bersatu menyambut baik gagasan besar yang digagaskan oleh Presiden Bersatu, iaitu langkah berani, bertanggungjawab dan berpandangan jauh untuk mentafsir dan mengisi perjuangan Nasionalisme Baharu dan Perdamaian Nasional (National Reconciliation) yang menggabungkan kekuatan tenaga dan pemikiran parti-parti politik dan NGO demi masa depan negara yang harmoni dan bermaruah.

“Wawasan Presiden Bersatu juga menggariskan kerangka Jihad Ekonomi Bumiputera bagi mencipta peluang ekonomi baru untuk Melayu dan Bumiputera,” ujarnya.

Antara yang turut disentuh dalam perbahasan perwakilan adalah dasar imigresen, kebanjiran warga asing dan kehilangan sebahagian daripada mereka tanpa dapat dikesan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Bersatu menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN), di samping memastikan agenda perjuangan Melayu dan Islam terus diberi keutamaan.

“Dalam usaha memperkasakan rakyat, Bersatu juga akan memperhebatkan program-program turun padang bagi mendengar suara akar umbi dan menangani isu-isu setempat,” tambahnya. – UTUSAN