Sime Darby Property bangunkan pusat data tambahan di Elmina Business Park

Perniagaan

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) memeterai perjanjian bina-dan-pajak baharu bersama Pearl Computing Malaysia Sdn. Bhd. (Pearl Computing), anak syarikat milik penuh sebuah syarikat teknologi multinasional, melibatkan pembangunan kemudahan pusat data tambahan.

Menurut kenyataan, kemudahan pusat data tersebut akan dibangunkan mengikut spesifikasi dan keperluan infrastruktur tersuai di atas tapak seluas 77 ekar di Elmina Business Park.

“Kemudahan ini akan terletak berhampiran dengan pusat data pertama Pearl Computing, yang kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada awal 2026.

“Elmina Business Park, sebuah bandar perindustrian berkeluasan 1,500 ekar yang memenangi anugerah dan merupakan hab perniagaan perindustrian pegangan bebas terbesar di Lembah Klang, telah menjadi destinasi pilihan bagi industri berteknologi tinggi.

“Projek pusat data tambahan ini mempercepatkan pembangunan kawasan ini sebagai hab perindustrian yang pesat berkembang, sekaligus meningkatkan daya tarikannya kepada syarikat global,” katanya.

Jelasnya, kerja pembangunan infrastruktur di tapak tersebut sedang berjalan, dengan pembinaan dijangka siap pada 2027.

“Selepas itu, kedua-dua pihak akan memasuki perjanjian pajakan selama 20 tahun bernilai sehingga RM5.6 bilion, dengan pilihan untuk memperbaharui selama dua penggal tambahan lima tahun.

“Ini merealisasikan strategi SHIFT25 kumpulan dengan meningkatkan pendapatan berulang secara signifikan dan mengembangkan aset di bawah pengurusan segmen Pelaburan & Pengurusan Aset (IAM),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, perjanjian itu mencerminkan keupayaan Sime Darby Property untuk membangunkan, memiliki, dan menyewakan pusat data yang memenuhi tuntutan ekonomi digital global.

“Ini sekali gus membuktikan kecanggihan teknikal serta kebolehpercayaan operasi yang diperlukan untuk aset infrastruktur yang kompleks dan kritikal.

“Kehadiran pusat data ini meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai hab digital utama di Malaysia, disokong oleh infrastruktur maju, dasar mesra perniagaan, dan kerjasama erat dengan pihak berkuasa.

“Kami mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Tenaga Nasional Berhad, dan Air Selangor atas sokongan tidak ternilai dalam merealisasikan projek ini,” katanya.

Perjanjian itu meneruskan kerjasama pusat data pertama Sime Darby Property yang diumumkan pada Mei tahun ini, menandakan kemasukan kumpulan ke dalam segmen pusat data.

Inisiatif itu juga menunjukkan perkembangan kukuh dalam kelas aset pusat data bernilai tinggi dan menegaskan peranan Sime Darby Property sebagai pemangkin utama perjalanan transformasi digital Malaysia. – UTUSAN