Fadhlina zahir takziah atas pemergian isteri Cikgu Din

Pendidikan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengucapkan takziah atas pemergian Nur Atiqah My Yusoff, yang merupakan isteri kepada Mohamad Izzudin Izhar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka perihal pemergian ke Rahmatullah Allahyarhamah Nur Atiqah My Yusoff, isteri kepada cikgu Mohammad Izzuddin Izhar dari SJK(C) Ming Wok in Kanowit, Sarawak.

“Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga Allahyarhamah,” tulisnya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.

Nur Atiqah, 30, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 malam semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, akibat kanser tulang rawan tahap empat yang dihidapinya.

Media melaporkan, suaminya, Cikgu Din, berkongsi berita sedih itu melalui WhatsApp dengan meminta agar mana-mana hutang isterinya dimaklumkan kepadanya untuk diselesaikan.

Solat jenazah Allahyarhamah akan diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Tumpat.

Kisah kesetiaan dan pengorbanan Cikgu Din menjadi perhatian warganet selepas dia berulang-alik setiap dua minggu dari Sarawak ke Kelantan untuk menemani isterinya yang mendapatkan rawatan.

Pada Oktober lalu, kisahnya mencuri tumpuan apabila media melaporkan rayuan Cikgu Din untuk bertukar ke Semenanjung demi menjaga isterinya ditolak. Alasan yang diberikan, permohonannya tidak memenuhi syarat tempoh perkhidmatan minimum tiga tahun.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa mereka prihatin terhadap situasi itu dan memberikan cuti kepada Cikgu Din untuk menjaga isterinya.

Kisah itu tular selepas rakan pasangan itu memuat naik cerita mereka di Facebook, yang akhirnya membuka jalan untuk perbincangan lebih lanjut antara pihak atasan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, dan Kelantan.

Selepas isu tersebut tular, KPM bertindak pantas dengan memberi cuti tambahan kepada Cikgu Din dan menempatkannya sementara di sebuah sekolah berhampiran isterinya. Langkah ini memberikan pasangan itu lebih banyak masa bersama.

Walaupun berdepan cabaran besar, Cikgu Din tidak pernah berhenti berusaha memberikan yang terbaik untuk isterinya. Kasih sayang dan pengorbanannya mencerminkan semangat seorang suami yang sejati.

Sementara itu, warganet turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan kesejahteraan keluarga ini, walaupun mereka terpaksa menerima kenyataan pahit tentang pemergian Nur Atiqah.