Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Beberapa bulan lalu, tular mengenai kisah seorang guru di Sarawak, Cikgu Din yang memohon agar dipindahkan ke Semenanjung berikutan isterinya sedang menghidapi penyakit kanser.
Difahamkan, doktor yang merawat isteri Cikgu Din memberitahu bahawa segala rawatan aktif perlu dihentikan disebabkan sel kanser yang semakin merebak.
Kisah menyayat hati Cikgu Din itu telah mendapat perhatian ramai termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang segera mengambil tindakan memberi cuti kepada pendidik itu untuk bersama dengan isterinya di Kota Bharu, Kelantan.
Baca Artikel Berkaitan: Selepas Kisah Isteri Sakit Tular, KPM Sahkan Cikgu Din Sudah Diberikan Cuti
Isteri Cikgu Din meninggal dunia malam tadi
Terbaharu, isteri kepada Cikgu Din dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 malam tadi (2 Disember).
Perkhabaran duka itu dikongsikan sendiri oleh Cikgu Din atau nama sebenarnya Mohamad Izzudin Izhar, 34, menerusi aplikasi perbualan, WhatsApp kepada media.
“Isteri saya telah menghembuskan nafas yang terakhir jam 9 (malam) tadi… saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap, dan kalau ada hutang (Allahyarham) mohon beritahu saya,” kongsi Cikgu Din dipetik Berita Harian.
Isteri Cikgu Din, iaitu Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser tulang rawan tahap empat meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Abang Allahyarhamah turut berkongsi perkhabaran duka itu
Seorang lelaki dipercayai abang kepada arwah Nur Atiqah yang dikenali sebagai Izzuwan Yusoff turut perkongsi perkhabaran duka itu di Facebook miliknya.
“Bagi sesiapa yg mengenali adik saya Nur Atiqah Yusoff, beliau telah menghembuskan nafas terakhir terakhir semalam.
“Mohon maafkan salah silap beliau, halalkan makan minum, kalau arwah ada hutang boleh pm (hubungi) saya. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.. Tenanglah di sana wahai adindaku,” tulisnya.
Fadhlina turut sampaikan ucapan takziah
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi satu hantaran di Facebook turut menyampai ucapan takziahnya kepada Cikgu Din dan keluarga Allahyarhamah.
“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka perihal pemergian ke Rahmatullah Allahyarhamah Nur Atiqah binti My Yusoff, isteri kepada Cikgu Mohammad Izzuddin Izhar (Cikgu Din) dari SJK(C) Ming Wok in Kanowit, Sarawak.”
Solat jenazah Allahyarham Nur Atiqah diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Tumpat.
Terdahulu, Cikgu Din dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu setiap dua minggu untuk menemani isteri selain telah membuat permohonan pertukaran apabila keadaan isteri semakin memburuk.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram