Calon SPM terlibat banjir perlu kuatkan semangat

Pendidikan

BANJIR adalah salah satu bencana alam yang sering melanda negara kita terutamanya ketika musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL).

Walaupun bencana alam tersebut sering melanda negara hampir saban tahun, namun tidak dinafikan ia masih menjejaskan emosi mangsa banjir walaupun pelbagai persediaan telah dibuat untuk menghadapinya.

Manakan tidak, setiap kali bah berlaku, ia akan membawa kemusnahan yang besar dan menjejaskan ribuan mangsa, malah paling teruk sehingga meragut nyawa.

Dalam keadaan negara dan mangsa yang masih bergelut dengan bencana tersebut, kita dikejutkan dengan pengumuman kerajaan untuk meneruskan Ujian Bertutur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Ahad dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi MTL yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.

Menurut beliau, seramai 5,377 calon SPM yang dikenal pasti terjejas akibat banjir itu akan ditempatkan di asrama atau digerakkan ke pusat peperiksaan alternatif.

Bagaimanapun, peperiksaan yang dijadualkan bermula pada Selasa hingga Khamis itu telah mencetuskan polemik serta kegusaran banyak pihak terutamanya calon yang terjejas serta ibu bapa.

Ia berikutan, SPM merupakan peperiksaan yang penting dan akan menjadi penentu masa depan anak-anak mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) atau sebaliknya.

Lebih-lebih lagi apabila calon tidak dapat membuat persediaan rapi untuk melakukan yang terbaik dalam ujian tersebut dan perkara ini sedikit sebanyak akan menjejaskan mereka dari segi fizikal dan juga mental.

Kisah mengenai seorang ibu yang sanggup meredah arus kira-kira dua kilometer dan sanggup membahayakan dirinya demi membawa anaknya keluar dari kampung di Gual Machang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Kelantan meruntun hati banyak pihak.

Bukan itu sahaja, turut dilaporkan mengenai calon SPM yang berada dalam keadaan tertekan kerana tidak bersedia untuk menghadapi peperiksaan tersebut selepas penat mengurus dan menyelamatkan diri.

Susulan pengumuman itu, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesyorkan kepada kerajaan supaya menilai semula jadual dan tarikh yang sesuai untuk mengadakan sesi kedua ujian tersebut khususnya pelajar terjejas dengan banjir.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mendakwa keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan SPM itu dibuat tanpa ihsan.

Ujar beliau, ramai calon terlibat dengan banjir tidak bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan kali ini berikutan rumah yang tenggelam termasuk dengan segala peralatan, buku sekolah dan pakaian.

Oleh itu, dalam situasi yang getir ini, ibu bapa perlu memberikan sokongan moral kepada pelajar terutamanya calon SPM ini agar mereka dapat menjawab dalam keadaan tenang.

Selain itu, guru turut memainkan peranan yang penting dengan menerap dan mengajar kepada pelajar teknik pengurusan emosi supaya bencana tersebut tidak menjadi asbab kepada kegagalan mereka.

Ini kerana, mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga dalam keadaan yang memikirkan keluarga kerana terpaksa bergelut dengan banjir sehingga mampu meragut nyawa.

Tidak dapat dinafikan bahawa ujian tersebut penting untuk masa depan mereka, namun menangguhkan terlebih dahulu sehingga keadaan kembali pulih mungkin langkah yang lebih diperlukan pada saat-saat yang getir.

Apa pun, perjuangan tetap perlu diteruskan dan diharapkan agar calon-calon SPM dapat membuat yang terbaik walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.

*Siti Aisyah Mohamad ialah wartawan meja am Sinar Harian