KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) kini sedang menyemak satu draf Rang Undang-Undang (RUU) untuk mewajibkan pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sentiasa berusaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan yang berkualiti tanpa mengira kepelbagaian latar belakang.
Kata beliau, Kementerian Pendidikan sedang dalam usaha untuk melanjutkan pendidikan wajib dari peringkat pendidikan rendah hingga menengah.
Jelasnya, cadangan tersebut sudah dibentang dan dipersetujui secara dasarnya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Jun lalu.
“Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib ini akan melibatkan pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
“Draf Rang Undang-undang Pendidikan (Pindaan) berkaitan Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari Pendidikan Rendah hingga Pendidikan Menengah telah disediakan oleh KPM dan kini dalam semakan AGC,” katanya di dalam jawapan bertulis bagi jawab lisan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang memintanya menyatakan pendirian berkenaan dengan cadangan pakar yang mewajibkan pendidikan 12 tahun sehingga Sijil Pelajaran Malaysia sebagai langkah mengatasi keciciran pelajar.
Buat masa ini, dasar pendidikan wajib menetapkan setiap ibu bapa warganegara yang menetap di Malaysia yang mempunyai anak mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa, mestilah mendaftarkannya di sekolah rendah.
Di samping itu juga, ibu bapa perlu memastikan anak yang didaftarkan akan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan rendah.
Pada 10 Ogos lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, negara kini berdepan masalah enrolmen di peringkat prasekolah dan sekolah menengah tetapi bukan bagi sekolah rendah.
“Enrolmen sekolah rendah kita tiada masalah, 99 peratus, kita mencapai sasaran sejagat sebab kita ada dasar pendidikan wajib untuk sekolah rendah,” katanya.-UTUSAN