Dana bantuan sekolah Tamil Selangor kekal diselaras PIBG, LPS

Sains

SHAH ALAM: Pengurusan dana daripada Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor tahun hadapan bagi sekolah-sekolah Tamil bakal akan diselaraskan mengikut Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS).

Menurut EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu, PIBG akan menerima 30 peratus dana bagi pelaksanaan program sekolah sementara kerja-kerja berkaitan infrastruktur akan dilakukan oleh LPS melalui 70 peratus daripada peruntukan tersebut.

Beliau berkata, dana yang diperuntukkan mesti digunakan sepenuhnya dan tidak boleh disimpan dalam akaun bagi mengelakkan permohonan baharu pada masa hadapan ditolak.

“Bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan, langkah-langkah berikut akan terus dilaksanakan, dua laporan mesti diserahkan sebagai bukti penggunaan dana, satu untuk kerja infrastruktur dan satu lagi untuk program sekolah.

“Kedua, Semua dana mesti digunakan hanya untuk tujuan yang dinyatakan dalam permohonan asal yang dihantar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jelasnya, langkah-langkah itu dirancang untuk meningkatkan kecekapan penggunaan dana dan memastikan manfaatnya sampai kepada pelajar dan sekolah seperti yang dihasratkan.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan peruntukan sebanyak RM26.5 juta untuk disalurkan bagi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor.

Program tersebut adalah bantuan kepada sekolah di negeri ini bagi membaik pulih infrastruktur sekolah dan membantu menyediakan persekitaran yang kondusif.

Dalam pada itu, Papparaidu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting memberitahu, dana bagi bantuan pada tahun ini diagih pada kadar sama iaitu 30 peratus kepada PIBG dan 70 peratus kepada LPS.

“30 peratus untuk program sekolah, khususnya kepada Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan aktiviti kokurikulum dan 70 peratus untuk pembaikan dan peningkatan infrastruktur sekolah.

“Untuk sekolah yang mempunyai LPS, PIBG mesti memindahkan 70 peratus daripada ke akaun LPS. LPS bertanggungjawab mengurus pembaikan dan peningkatan infrastruktur sekolah. Untuk sekolah tanpa LPS, PIBG akan mengurus keseluruhan dana dan memantau pelaksanaan program serta pembaikan infrastruktur,” jelasnya. – UTUSAN