BAM sah disiasat SPRM

Sukan

KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disiasat oleh Suruhan Pencegahan Malaysia (SPRM) akhirnya terjawab apabila badan induk itu mengesahkan perkara berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun, kehadiran pegawai SPRM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara baru-baru ini difahamkan hanya untuk mendapatkan maklumat tertentu dengan pihak BAM memberi kerjasama sepenuhnya.

“Persatuan Badminton Malaysia mengesahkan ada pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkunjung ke pejabat kami pada minggu lalu bagi mendapatkan maklumat tertentu.

“BAM memberikan kerjasama sebaiknya sepanjang kunjungan tersebut dan pegawai berkenaan menjalankan tanggungjawab dengan penuh profesional,” kata BAM menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, khabar angin luas tersebar bahawa BAM dilaporkan berada dalam siasatan SPRM, namun badan induk berkenaan enggan memberi komen mengenai isu terbabit. – UTUSAN