GEORGE TOWN – Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, Tan Sri Tan Kok Ping diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM350,000 kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow terhadap saman fitnah kenyataannya mengenai penjualan tanah milik PDC di Byram, Nibong Tebal tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tingggi, Datuk Quay Chew Soon memutuskan demikian selepas Kon Yeow selaku plaintif berjaya membuktikan tiga elemen fitnah dalam tuntutannya terhadap Kok Ping selaku defendan.
Mahkamah turut memerintahkan Kok Ping membayar kos guaman berjumlah RM50,000.
Dalam penghakimannya, Chew Soon berkata, kenyataan Kok Ping yang dipertikaikan dalam bahasa Mandarin dan diterjemahkan kepada tidak kompeten, jahil, tidak tahu malu itu jelas merujuk kepada plaintif, mengandungi unsur fitnah dan telah disiarkan secara terbuka.
“Pembelaan justifikasi, komen berpatutan dan keistimewaan bersyarat yang dikemukakan oleh defendan tidak dapat dibuktikan. Malah, saya dapati defendan bertindak dengan niat jahat.
“Apabila tokoh berpengaruh seperti Kok Ping mengeluarkan kenyataan sebegini, ia berpotensi merosakkan reputasi Kon Yeow di mata rakyat,” kata Chew Soon dalam penghakimannya menerusi aplikasi Zoom, pada Selasa.
Pada prosiding itu, Chew Soon juga tidak memaksa Kok Ping untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kok Yeow.
Katanya, permohonan maaf mestilah lahir daripada hati yang ikhlas dan bukan dipaksa oleh perintah mahkamah.
Kon Yeow diwakili peguam, Simon Murali dan Kok Yuen Lin manakala Kok Ping pula, Datuk K. Kirubakaran, Kek Boon Wei dan Lee Wen Qian.
Media pada 4 Januari lalu melaporkan, Kon Yeow memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping berhubung kenyataannya mengenai penjualan tanah negeri tahun lepas.
Kon Yeow berkata, tindakan saman fitnah itu diputuskan susulan tiada percubaan oleh Kok Ping untuk meminta maaf atau menarik balik kenyataannya.
Menurutnya, Kok Ping telah menggunakan kapasitinya sebagai presiden kehormat seumur hidup PCCC untuk mengadakan sidang media berhubung perjanjian pembangunan bersama bertarikh 27 September tahun lepas untuk projek pembangunan yang dicadangkan antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan UMECH Land Sdn Bhd.
“Walaupun penamatan perjanjian itu telah diumumkan oleh PDC kepada media dan orang ramai pada 16 Oktober tahun lepas, Kok Ping dengan sengaja membuat kenyataan fitnah dalam bahasa Mandarin semasa sidang media itu bertujuan untuk menyerang watak, kredibiliti, kecekapan dan keupayaan saya sebagai ketua menteri dan sebagai pengerusi PDC,” katanya.