Kerajaan digesa campur tangan caj hospital swasta, pinda Akta 586

Kesihatan

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta (Akta 586) yang kekal sejak lebih 20 tahun lalu dipinda bagi menangani masalah kenaikan caj rawatan kesihatan di sektor swasta.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus berkarta, kerajaan perlu melihat dan meminda akta itu yang ditubuhkan sejak 1998.

Menurut beliau, kenaikan premium insurans dari 40 hingga 70 peratus disebabkan kenaikan caj rawatan hospital swasta adalah satu perkara yang tidak wajar kerana ia akan menyebabkan lebih ramai membatalkan pelan insurans mereka.

“Hospital-hospital swasta ini meraih keuntungan yang begitu besar. Jadi sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat berkaitan caj perubatan dan rawatan di peringkat hospital swasta. Akta 586 perlu dipinda supaya kerajaan mempunyai kuasa untuk mengawal caj tersebut.

“Mungkin perlu satu suruhanjaya bebas bagi melihat (perkara ini). Kalau hari ini kita lihat kerajaan menuduh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai penyebab kenaikan premium insurans itu, mungkin suruhanjaya boleh melihat (penyebab sebenar).

“Elok juga Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat dilibatkan untuk melihat bagaimana isu-isu sebegini dapat ditangani,” katanya semasa sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan.

Ini berdasarkan notis yang dihantar oleh para penanggung polisi kepada pengguna memaklumkan mengenai kenaikan premium itu dan antara alasan diberikan adalah kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.

Ekoran itu ramai pengguna dilaporkan bertindak menamatkan polisi insurans perubatan mereka kerana tidak lagi mampu menanggung peningkatan pre­mium yang perlu dibayar setiap bulan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pembatalan polisi insurans oleh rakyat yang terbeban akan menyebabkan sektor perubatan awam terkesan.

“Hari ini pun kita masih belum lagi berjaya (menangani isu kesesakan) walaupun beberapa pendekatan sudah diambil. Jadi kerajaan kena (melihat) perkara ini dengan serius supaya masalah rakyat itu dapat kita selesaikan,” jelasnya.-UTUSAN