Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memerintahkan ahli perniagaan Tan Sri Tan Kok Ping membayar RM400,000 sebagai kos dan ganti rugi kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kes saman fitnah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon membuat keputusan itu semasa prosiding secara dalam talian, selepas mendapati Chow berjaya membuktikan kesnya terhadap Tan, yang merupakan Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC).
Dalam penghakimannya, Hakim Quay berkata saman Chow telah memenuhi semua elemen fitnah, dengan kenyataan yang dipertikaikan dibuat oleh Tan dalam bahasa Mandarin yang merujuk kepada Chow dan unsur fitnah berkenaan terletak pada tiga perkataan ofensif iaitu ‘tidak cekap, tidak arif dan tidak tahu malu’.
Beliau berkata Tan menekankan kedudukan Chow secara spesifik dengan merujuk beliau sebagai Ketua Menteri.
“Plaintif mengetuai pentadbiran awam di negeri ini, maka penting bagi seorang Ketua Menteri untuk memiliki watak yang tiada cacat cela dan berintegriti tinggi. Beliau mesti dilihat oleh masyarakat umum sebagai seorang yang berkebolehan dan bijak dalam melaksanakan tugasnya.
“Oleh itu, apabila seorang tokoh berpengaruh seperti defendan menuduh plaintif sebagai tidak cekap, tidak arif dan tidak tahu malu, tuduhan ini berpotensi untuk merosakkan kedudukan plaintif di mata masyarakat yang berfikiran rasional. Saya mendapati kenyataan yang dipertikaikan itu adalah fitnah terhadap plaintif,” katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu memfailkan saman fitnah terhadap Tan pada Januari tahun ini berhubung kenyataan defendan berkaitan penjualan tanah milik kerajaan negeri tahun lepas.
Chow diwakili peguam Simon Murali dan Kok Yuen Lin, manakala Tan diwakili oleh Datuk K Kirubakaran, Kek Boon Wei dan Lee Wen Qian.
– Bernama