Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada mulanya mahu menubuhkan agensi menyeluruh untuk memantau semua agensi penguatkuasaan.
Namun, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan kemudian memutuskan untuk menubuhkan agensi yang khusus untuk mengawal selia pasukan polis.
“Pada awalnya, pendirian perdana menteri adalah untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya yang mengawal selia semua agensi penguatkuasaan.
“Namun, keputusan politik pada tahun 2022 memutuskan untuk memfokuskan kepada pasukan polis terlebih dahulu,” katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media hari ini pada pelancaran rasmi Suruhanjaya Bebas Tata Kelakuan Polis (IPCC) hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
IPCC telah pun beroperasi sejak 1 Julai tahun lalu.
Saifuddin berkata sejak penubuhannya, IPCC telah menerima 529 aduan setakat 22 Nov, termasuk yang belum selesai sebelum penubuhan suruhanjaya itu.
“Terdapat tiga jenis aduan yang dibuat. Salah satunya mengenai rasuah – yang salurkan kepada SPRM.
“Kedua melibatkan jenayah, yang dirujuk semula kepada polis dan ketiga melibatkan salah laku – yang disiasat oleh IPCC sendiri,” tambahnya.
Saifuddin bagaimanapun berkata penubuhan IPCC bukan semata-mata atas desakan orang ramai.
Menteri itu berkata, polis telah mencapai banyak kejayaan sejak penubuhannya 217 tahun lalu, yang menyebabkan jangkaan orang ramai terutama dari segi integriti dan lain-lain juga berubah.
“Kerana itu IPCC ini muncul pada moment yang macam ini. Di mana nak menguruskan expectation rakyat terhadap pasukan penguatkuasa yang terbesar dengan cabaran yang lebih rencam, ketika pasukan polis sudah punya rekod yang baik.
“Namun di sana masih ada lagi ruang untuk kami pertingkatkan terutama dari sudut kecekapan, dari sudut integriti yang diangkat dalam bentuk satu aduan oleh rakyat.
“Di sinilah IPCC akan menjalankan peranan dia seperti yang digambarkan oleh namanya itu,” katanya.
Beberapa pihak membidas penubuhan IPCC, dengan Badan Peguam Malaysia menyifatkannya sebagai tidak mempunyai kuasa untuk menegakkan akauntabiliti polis.
Organisasi itu lantang sejak beberapa tahun lalu mengenai penguatkuasaan akta tersebut, dengan menggesa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk ditubuhkan dan bukannya IPCC.