Northport pecah rekod kendalian kontena dan kargo konvensional tahunan

Perniagaan

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli Kumpulan MMC, berjaya mencatat rekod baharu jumlah pengendalian tahunan untuk segmen perniagaan kontena dan kargo konvensionalnya dengan mengendalikan sejumlah 3,328,508 TEU kontena pada 27 November, mengatasi rekod tahunan sebelumnya iaitu sebanyak 3,324,364 TEU yang dicatat 2021.

Northport berkata, pada 28 November 2024, syarikat turut memecahkan rekod kargo konvensionalnya dengan pengendalian sebanyak 11,434,814 FWT (Freight Weight Tonnes), mengatasi rekod tahunan sebelumnya iaitu sebanyak 11,405,312 FWT yang dicatat pada 2023.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof, yang memegang jawatan baharu di dalam Kumpulan MMC sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn. Bhd. (MMC Ports) berkata, tahun ini merupakan tahun yang mencabar bagi industri pelabuhan dan perkapalan, dipengaruhi oleh faktor global seperti ketegangan geopolitik di rantau Laut Merah.

“Gangguan ini telah memberi kesan ketara kepada laluan perdagangan global dan operasi pelabuhan, menyebabkan syarikat perkapalan membuat singgahan ad-hoc ke pelabuhan-pelabuhan lain.

“Walaupun berdepan cabaran ini, dengan peningkatan singgahan kapal-kapal ad-hoc dan bermulanya perkhidmatan perkapalan baharu di Northport, kami berbangga kerana telah berjaya mencatat pencapaian luar biasa dalam pengendalian kontena dan kargo konvensional dengan prestasi pecah rekod pada tahun ini, walaupun masih berbaki sebulan lagi sebelum berakhirnya 2024,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, Northport telah mencatatkan 2024 sebagai tahun bersejarah dengan pencapaian luar biasa untuk operasi kontena dan kargo konvensionalnya.

“Pada Mac 2024, Northport telah mencatatkan rekod baharu pengendalian tertinggi untuk kargo pukal daripada sebuah kapal dengan pengendalian sebanyak 48,853 FWT kargo keluli daripada kapal kargo konvensional, MV Jin Chao. Ia mengatasi rekod Northport sebelumnya, iaitu sebanyak 47,246 FWT, yang dikendalikan daripada kapal MV Wu Yi Hai pada Mei 2022.

“Northport turut menyambut kehadiran kapal kontena terbesar yang pernah berlabuh di terminalnya, iaitu kapal MV OOCL Japan, pada 20 Mei 2024. Kapal yang berkapasiti 21,413 TEU ini mengatasi kapal terbesar sebelumnya yang pernah singgah di Northport pada 2013, iaitu kapal Eugen Maersk yang mempunyai kapasiti 11,000 TEU,” katanya.

Selain itu, jelasnya, pada Mei 2024, Northport telah mencatat satu lagi pencapaian dengan pengendalian sebanyak 335,361 TEU, iaitu jumlah kendalian bulanan tertinggi dalam sejarahnya pada waktu itu.

Jelas beliau, pencapaian ini diteruskan dengan prestasi pecah rekod berganda pada Julai 2024, apabila Northport mencatatkan pengendalian bulanan tertinggi sebanyak 354,548 TEU, mengatasi rekod yang dicatatkan dalam Mei 2024.

“Dalam masa yang sama, segmen kargo konvensionalnya telah mengendalikan sebanyak 1,143,318 FWT, mengatasi rekod bulanan sebelumnya, iaitu sebanyak 1,129,145 FWT, yang dicatatkan pada Oktober 2023.

“Momentum ini berterusan pada Ogos 2024, apabila Northport telah memecahkan rekod untuk bulan kedua berturut-turut. Syarikat telah mencatatkan jumlah pengendalian kontena bulanan sebanyak 365,558 TEU, mengatasi pencapaian Julai 2024.

“Northport juga turut memecahkan rekod bulanan kargo konvensionalnya dengan pengendalian sebanyak 1,145,021 FWT, mengatasi prestasi bulan sebelumnya,” katanya.

Pada September 2024, Northport sekali lagi mencatatkan rekod baharu untuk pengendalian kargo pukal terbesar daripada sebuah kapal dengan pengendalian sebanyak 52,480 FWT kargo keluli daripada kapal kargo konvensional, MV African Blackbird.

Pencapaian ini mengatasi rekod Northport sebelumnya, iaitu sebanyak 48,853 FWT yang dicatatkan pada Mac 2024.

Sepanjang tiga tahun lalu, Northport secara konsisten telah mencatatkan prestasi pecah rekod dalam segmen kontena dan kargo konvensionalnya.

“Pada 2021, syarikat telah mencatat jumlah pengendalian kontena tertinggi dalam sejarahnya, iaitu sebanyak 3,324,364 TEU, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 3,305,764 TEU yang dicatatkan pada 2010.

“Pada 2022, Northport telah mencatat satu lagi pencapaian dalam segmen kargo konvensional dengan pengendalian sebanyak 11,115,670 FWT, jumlah kendalian tahunan tertinggi sejak 2000. Pada tahun lalu, syarikat telah berjaya mengatasi rekod kargo konvensional 2022 dengan pencapaian baharu iaitu sebanyak 11,405,312 FWT,” katanya

Azman Shah menambah, beliau merasa amat berbangga dengan kumpulan Northport di atas pencapaian luar biasa yang telah dicapai bersama.

“Semua penambahbaikan dan inovasi yang telah kita laksanakan melalui program Reinventing Northport sejak 2016 dalam usaha kita menjadi pelabuhan yang lebih selamat, lebih hijau, lebih pintar dan lebih baik telah membawa kepada kejayaan demi kejayaan.

“Kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa dedikasi teguh kakitangan kami, kepercayaan dan sokongan berterusan pelanggan kami, serta kerjasama yang amat baik daripada para pemegang taruh.

“Dengan sokongan mereka yang berterusan, kami yakin dapat menutup tirai tahun ini dengan cemerlang dan meletakkan asas yang kukuh untuk kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN