Kejuaraan dunia bakal jadi penentu pesilat negara

Sukan

PETALING JAYA: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bakal menjadikan Kejuaraan Pencak Silat Dunia yang akan diadakan di Abu Dhabi pada 15 hingga 23 Disember ini sebagai platform terbaik dalam pemilihan atlet untuk ke Sukan SEA 2025.

Setiausaha Agungnya, Bibi Aishah Golbal Shah berkata pihaknya turut menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan untuk menggugurkan mana-mana atlet yang tidak relevan untuk dibawa ke temasya dwitahunan itu.

“Mengenai persiapan 2025, kami lebih menjurus kepada Sukan SEA Thailand jadi pendedahan dan latihan lebih menjurus kepada temasya dwitahunan itu.

“Sebanyak 24 acara bakal disertai oleh pesilat negara di kejuaraan dunia dan kami menunggu keputusan daripada kejuaraan itu sebelum membuat keputusan untuk menggugurkan mana-mana atlet yang tidak berpotensi dan sudah melebihi usia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Dalam pada itu, Bibi turut memberitahu kejohanan di Abu Dhabi itu dijadikan pentas untuk menambah bilangan pesilat negara ke dalam progam Podium menjelang Sukan SEA 2025.

Pesilat kelas A Putra, Muhammad Amirul Hakim Jaafar dan Ummi Mashitah Hassan (kelas C Putri) berpeluang berada dalam program Podium di bawah seliaan MSN namun perlu melepasi syarat ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa.

“Sekarang kita ada 27 atlet dalam program Podium dan ingin menambah dua lagi. Saya rasa mereka boleh melepasi syarat ditetapkan MSN ini (iaitu) melepasi pingat gangsa.

“Cuma baru-baru ini (Muhammad) Robial (Sobri) mengalami kecederaan dan dia terpaksa diketepikan di Kejuaraan Dunia.

“Dia baharu menjalani pembedahan ACL (anterior cruciate ligament) (ACL) dan kita tak membawanya ke Abu Dhabi. Untuk sasaran itu, kita tunggu presiden umumkan nanti sebelum berlepas ke Abu Dhabi,” katanya. – UTUSAN