CBP anjur MMKI 2024, fokus hala tuju landskap kewangan Islam

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama Berhad (CBP) menganjurkan Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI) 2024, sebuah inisiatif yang mengumpulkan pakar terkemuka untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam sektor kewangan Islam.

MMKI 2024 bertemakan “Hala Tuju Perbankan Islam Mendepani Risiko Baharu” itu bertujuan membincangkan pelbagai risiko, cabaran, serta keperluan inovasi baharu bagi memastikan perkembangan berterusan landskap kewangan Islam.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, penganjuran MMKI 2024 menyediakan platform penting untuk perbincangan mendalam mengenai pendekatan strategik dalam menghadapi perubahan ekonomi yang dinamik.

“Fokus MMKI adalah untuk membincangkan langkah mitigasi terhadap risiko baharu yang muncul dalam industri kewangan Islam, khususnya kecenderungan kepada amalan ‘monopraktis’.

“Kami berharap perbincangan ini akan menghasilkan penyelesaian inovatif bagi menyokong pertumbuhan sektor kewangan Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian MMKI 2024 di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa muzakarah itu bukan sahaja bertujuan memahami risiko baharu tetapi juga meneroka potensi inovasi dalam produk kewangan Islam yang memenuhi keperluan ekonomi moden sambil mematuhi prinsip syariah.

“Kami berharap MMKI akan menggalakkan perbincangan yang konstruktif serta menghasilkan penyelesaian yang praktikal dan mampan,” katanya

Beliau berkata, cabaran dalam industri kewangan Islam memang wujud, terutamanya dalam usaha memperkenalkan konsep baharu.

“Ia seperti perumpamaan tidak meletakkan semua telur dalam satu bakul, kewangan Islam memerlukan pendekatan yang pelbagai. Tetapi, cabaran besar timbul apabila perubahan perlu dilakukan, kerana proses ini memerlukan masa.

“Kita perlu memberi masa untuk memastikan konsep baharu dapat diterapkan secara relevan dan bank dapat melaksanakannya dengan baik,” katanya.

Mengenai prospek kewangan Islam pada tahun hadapan, beliau optimis bahawa industri itu mempunyai potensi yang sangat besar.

“Sektor perbankan menunjukkan potensi yang amat cerah, namun harus diingatkan bahawa pihak bank perlu mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Selain itu, kebanyakan pemain industri dan klien kini mula bekerjasama dengan institusi kewangan Islam, yang menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap sektor ini, walaupun terdapat cabaran, terutama dalam memastikan semua peraturan dipatuhi,” katanya. – UTUSAN