Kerajaan teliti cadangan luaskan mySalam kepada M40

Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan untuk memperluaskan skim perlindu­ngan kesihatan, mySalam kepada golongan M40.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketika ini mySalam hanya diperuntukkan untuk golongan B40.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan sudah mengumumkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran premium insurans pendidikan dan insurans perubatan dinaikkan kepada RM4,000 daripada RM3,000 untuk golongan M40.

Jelasnya, usaha tersebut bagi menggalakkan simpanan dana untuk pendidikan anak-anak dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan perubatan.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat diberi keutamaan termasuk untuk golongan M40. Cadangan perluasan mySalam kepada M40 juga turut diberi perhatian oleh kerajaan.

“Kerajaan akan meneliti dan memperhalusi cadangan ini terlebih dahulu sebelum dilaksanakan bagi memastikan golongan M40 dapat menikmati perlindungan kesihatan yang wajar,” katanya di dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang memintanya menyatakan sama ada kerajaan akan meluaskan program perlindungan mySalam kepada golongan M40 dalam masa terdekat.-UTUSAN