YWP laksana karnival pendidikan dan kerjaya, bantu golongan belia

Pendidikan

KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menganjurkan karnival pendidikan dan kerjaya bagi membantu golongan belia mendapatkan peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi serta memperoleh peluang pekerjaan.

YWP dalam satu kenyataan berkata, karnival yang berlangsung di Labuan selama dua hari iaitu bermula 30 November hingga 1 Disember lalu merupakan kerjasama dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, Perbadanan Labuan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut membantu dalam menjayakan karnival tersebut bagi peringkat Labuan.

“Melalui program ini, YWP sudah menyerahkan pelbagai bentuk bantuan kepada masyarakat yang memerlukan, khususnya golongan asnaf dan pelajar di Labuan. Antara bantuan yang disalurkan adalah bantuan pendidikan kepada pelajar iaitu Tuisyen Madani Ilmu @PUJI.

“Selain itu, YWP turut memberi bantuan pemakanan bagi pelajar sekolah menengah, persediaan ke sekolah kepada pelajar yang layak dan memberikan bantuan khas kepada 38 penerima asnaf.

“YWP turut memberi bantuan awal institusi pengajian tinggi (IPT) kepada 20 penerima untuk melanjutkan pengajian mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, YWP berkata, pihaknya turut menyerahkan mock cheque kepada penerima sebagai simbolik komitmen terhadap inisiatif pendidikan dan kebajikan.

“Selain itu, sijil penghargaan turut diberikan kepada penganjur utama dan agensi-agensi yang membuka reruai sepanjang karnival ini sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu mereka,” katanya.

Tambahnya, YWP berharap agar usaha tersebut dapat membantu dalam meningkatkan taraf pendidikan dan kebajikan masyarakat di Labuan serta menyuntik semangat pelajar untuk terus mencapai cita-cita mereka.-UTUSAN