YTL perkasa generasi pekerja pastikan syarikat kalis masa depan

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Kumpulan YTL bersama anak syarikatnya, YTL Construction berhasrat meneroka strategi merapatkan jurang generasi, memupuk budaya inklusif, dan membentuk tempat kerja yang mampan di masa hadapan.

Malah, konglomerat itu pada usianya yang menjangkau 70 tahun pada 2025 bersiap sedia menonjolkan warisan inovasi, ketahanan, dan komitmen teguh kumpulan ini dalam memperkasakan generasi pekerja selain menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan serta inovasi, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri.

Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan berkata, syarikat kini sedang mengalami transformasi digital dan pembangunan bakat selain mencipta peluang bagi profesional berpengalaman serta kepemimpinan.

“YTL Construction berkembang melalui sinergi antara menghormati tradisi dan menerima inovasi. Dengan melaksanakan transformasi digital dan membangun bakat, kami mencipta peluang untuk profesional berpengalaman serta pemimpin yang sedang meningkat.

“Melalui inisiatif seperti YTL Learning Academy dan platform seperti ‘GenConnect:Membina Bersama untuk Masa Depan’, kami menekankan dedikasi untuk memupuk tempat kerja yang meraikan kepelbagaian, kesaksamaan, dan inklusif, sambil menginspirasi kemajuan untuk semua,” katanya dalam ucapan pembukaan forum ‘GenConnect’, hari ini.

Tambahnya, forum tersebut menonjolkan warisan inovasi, ketahanan, dan komitmen teguh Kumpulan YTL dalam memperkasakan generasi pekerja.

Forum tersebut dianjur melibatkan kerjasama dengan British Malaysian Chamber of Commerce (ngkan transformatif mengenai kolaborasi antara generasi yang turut menghimpunkan pemimpin pemikiran, inovator industri, dan profesional.

YTL Construction yang ditubuhkan sejak 1955 terlibat secara langsung dalam projek mercu tanda negara seperti Express Rail Link (ERL), projek Gemas-Johor Bahru Electrified Double Track (GJBEDTP), pembinaan hospital, serta taman data canggih YTL Green Data Centre Park di Kulai, Johor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BMCC, Jenifer Lopez memberitahu, beliau menyokong usaha YTL Construction yang memperkasakan keakraban antara generasi sebagai langkah yang mampan memastikan syarikat berdaya tahan di masa hadapan.

“Komitmen YTL Construction dalam memperkasakan kolaborasi antara generasi dan memajukan kepelbagaian, kesaksamaan, dan inklusif mencerminkan visi ke hadapan untuk mewujudkan tempat kerja yang inklusif dan berdaya tahan.

“Inisiatif seperti forum tersebut bukan sahaja menonjolkan perbincangan penting tetapi menjadi seruan untuk bertindak kepada syarikat lain agar menyelaraskan bakat dan perspektif yang pelbagai untuk kejayaan bersama,” ujarnya.

Malah, beliau menggalakkan lebih banyak syarikat tampil dengan inisiatif serupa yang mengutamakan inklusiviti dan mendorong transformasi tempat kerja. – UTUSAN