Graduan USIM dalam pantang berkerusi roda terima ijazah

Sains

SEREMBAN: Masih dalam tempoh berpantang selepas lima hari melahirkan cahaya mata, tidak menghalang seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini untuk hadir sendiri menerima ijazahnya pada Majlis Konvokesyen Ke-22 universiti tersebut hari ini. 

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko), Nurin Amni Aqilah Cek Ahmad, 23, itu, lebih manis dan menggembirakan buat dirinya apabila hari bersejarahnya itu turut dikongsi bersama suaminya, Abdul Basith Abd. Samad 23 yang turut menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Fizik Gunaan) pada sidang hari ini.

“Saya baru sahaja lima hari melahirkan bayi lelaki dan sepatutnya jangkaan lahir pada hari ini. Walaupun dalam keadaan berpantang saya kuatkan semangat dan gigih untuk hadir meraikan hari bersejarah bergraduasi bersama suami.

“Memandangkan saya dan suami berada dalam dewan, segala urusan menjadi mudah termasuk bergerak dan merakam gambar kenangan sepanjang majlis,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-22 USIM di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini, hari ini. 

Nurin Amni Aqilah dan Abdul Basith mendirikan rumah tangga pada Februari 2023 Ketika masing-masing menuntut pengajian di tahun ketiga. 

Sementara itu, seorang graduan Doktor Falsafah (PhD), Li Hui Ling, 47, memberitahu berbangga apabila berjaya menamatkan pengajiannya di USIM

“Semasa pandemik Covid-19 melanda, saya ada terfikir untuk melanjutkan pengajian dan kemudian pegawai saya mencadangkan USIM. Dari situlah bermulanya pengajian saya du USIM tanpa biasiswa dan mengikuti pembelajaran sepenuh masa termasuk secara dalam talian.

“Antara cabaran dalam tempoh itu adalah apabila setiap pelajar perlu mengambil subjek wajib iaitu Bahasa Arab dan saya mengakui memang sukar namun dengan sokongan daripada pensyarah dan rakan, saya berjaya mencapai gred B,” katanya.-UTUSAN.