KKR guna teknologi bahan turapan campuran khas mulai 2025

Teknologi
Ahmad Maslan (kanan) sewaktu melihat mesin memproses bahan campuran khas ketika mengadakan lawatan ke kilang memproses bahan campuran khas di K2 Bitumen Sdn Bhd hari ini. - Foto: Bernama

Ahmad Maslan (kanan) sewaktu melihat mesin memproses bahan campuran khas ketika mengadakan lawatan ke kilang memproses bahan campuran khas di K2 Bitumen Sdn Bhd hari ini. – Foto: Bernama

IPOH – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menggunakan teknologi bahan turapan dikenali ‘specialty mix’ atau campuran khas bagi kerja penyelenggaraan jalan raya bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bertujuan menambah baik daya tahan struktur selain memanjangkan jangka hayat jalan raya dan mengatasi isu kerosakan jalan, terutama di kawasan kerap dilalui kenderaan berat.

Beliau berkata perkara itu telah dipersetujui dalam Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri telah meminta agar pelaksanaannya dilakukan segera menggunakan teknologi ini (campuran khas) dan kita dapat kurangkan kos jika dilakukan dalam kuantiti yang banyak.

“Jadi mulai tahun depan semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya kita akan gunakan dasar 50 peratus guna campuran khas manakala bakinya kita akan guna kaedah sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang K2 Bitumen Sdn Bhd dekat sini hari ini.

Ahmad berkata, secara dasarnya teknologi bahan turapan campuran khas menggunakan bahan tambahan kepada bahan asas campuran asfalt iaitu bitumen dan agregat simen yang berfungsi sebagai penguat campuran asfalt.

“Kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringit setahun untuk kerja penyelenggaraan jalan raya, alangkah baiknya kita dapat laksanakan segera perkara ini setelah kita buat kajian sekian lama tentang penggunaannya.

“Berapa kali kita nak buat dan ia bukan perkara baharu kerana kita telah cuba sejak enam tahun yang lepas. Jadi perlu disegerakan dan akan dilaksanakan pada tahun depan agar jalan berlubang, retak dan lain-lain lagi dapat kita selesaikan,” katanya.

Setakat ini, terdapat lapan bahan turapan campuran khas yang digunakan di Malaysia iaitu Super Fibre Mix (SFM), Stone Mastic Asphalt (SMA), Cuplump Modified Asphalt (CMA), Polymer Modified Asphalt (PMA), Latex Modified Asphalt (Latex), Crumb Rubber Modified Asphalt (CRMA), Fibre Modified Asphalt (FMA) dan MR6-Plastic. – Bernama