Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Siapa sangka sebuah institusi pendidikan yang gah dengan akademi bagi menghasilkan para angkatan tentera negara, kini menjadi terkenal dengan beberapa insiden buli melibatkan penuntutnya.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kini sering dikaitkan dengan kes buli, lebih-lebih lagi setelah Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia pada tahun 2017 akibat didera.
Dalam kes terbabit, enam tertuduh telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Namun seolah-olah tidak serik apabila lebih banyak insiden penganiayaan membabitkan para kadet UPNM dilaporkan sejak kebelakangan ini.
‘Dua Sistem Pengajian’ Di UPNM Perlu Dinilai, Mungkin Faktor Potensi Insiden Buli
Dalam sesi Dewan Rakyat semalam (3 Disember), Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sistem pengajian ‘dua sistem’ yang digunakan di institusi pengajian tinggi berkenaan boleh disusun semula demi mengelak insiden buli pada masa hadapan, lapor The Star.
Beliau berpendapat melakukan semakan semula terhadap sistem pengajian tersebut adalah perlu, memandangkan ia telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang berpotensi menyebabkan insiden buli membabitkan kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM.
“Berkenaan insiden buli di UPNM, ia dikatakan berkait dengan sistem yang wujud di sana,” jelasnya.
Dua sistem tersebut adalah pembelajaran atau kuliah yang dihadiri pelajar dari jam 7 pagi hingga 5 petang, dan akademi bagi angkatan tentera.
“Gunakan Majlis Hal Ehwal Pelajar Untuk Elak Kes Buli Di IPT Lain” – Zambry
Beliau berkata sedemikian bagi menjawab soalan tentang tindakan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menangani kes buli di UPNM.
Tambah Zambry, pihaknya sedang mencari pendekatan yang menyeluruh bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Dalam konteks UPNM itu sendiri, apakah sistem yang ada itu sesuai atau tidak, dengan adanya dua sistem (sistem pengajian kuliah dan ALK) dan adakah kita perlu menstruktur balik dari segi sistem pengajian yang ada di sana,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut berkongsi tindakan KPT dalam menangani kes buli di universiti lain selain UPNM.
“Dalam konteks universiti lain, kita tubuhkan dalam Majlis Hal Ehwal Pelajar yang ada untuk pastikan kes buli ini tidak berlaku dan pendekatan yang dibuat universiti, dan sebab itu sehingga kini di universiti lain, kita belum ada kes yang seserius ini,” katanya dipetik Buletin TV3.
Sultan Ibrahim Titah Henti Budaya Dera Di UPNM
Sebelum ini, Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan agar budaya dera di UPNM dihentikan serta-merta.
Baginda yang merupakan Canselor UPNM turut meminta usaha semua pihak dalam menamatkan budaya tidak sihat itu, sekaligus mengembalikan semula nama baik institusi tersebut.
“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah baginda.
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Ibrahim Titah Henti Budaya Dera Di UPNM
5 Pegawai Kadet UPNM Terlibat Insiden Buli Dibatalkan Lantikan
Untuk rekod, beberapa insiden penganiayaan membabitkan kadet ALK UPNM telah dilaporkan pada tahun ini sahaja.
Pada Awal November, media melaporkan seorang pegawai kadet didakwa mendera seorang pelajar lain menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
Dalam satu insiden lain, seorang pelajar tahun satu UPNM didakwa telah dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga sehingga retak tulang rusuk dan tulang belakang.
Pihak UPNM dalam pada itu telah mengambil tindakan tegas ke atas lima Pegawai Kadet yang terlibat dalam tiga insiden penganiayaan dengan membatalkan lantikan, ditamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan diminta membuat bayaran ganti rugi kepada kerajaan.
Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Motif Sebenarnya” – Gurauan Melampau Dipercayai Punca Pelajar UPNM Ditekap Seterika
Baca Artikel Berkaitan: Kes Buli UPNM: Pelatih Tahun Tiga Mengaku Tidak Bersalah Pijak Perut Junior Guna ‘Spike Boot’
Baca Artikel Berkaitan: Lima Pegawai Kadet UPNM Terlibat Penganiayaan Dibatalkan Lantikan, Diberhentikan – Khaled Nordin
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.