Malaysia perlu bersedia hadapi persekitaran perdagangan tidak menentu

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersedia menghadapi persekitaran perdagangan global yang lebih tidak menentu pada tahun-tahun akan datang, berikutan ancaram tarif 100 peratus kepada anggota blok BRICS oleh Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pengarah Program Pengajian Ekonomi Universiti Sunway, Profesor Dr. Yeah Kim Leng berkata, ancaman tarif terhadap negara anggota BRICS bukan sahaja terhadap China, tetapi juga dinaikkan kepada negara lain.

Katanya, Trump dilihat menggunakan tarif untuk menyekat China, tetapi mungkin perkara itu gagal kerana arah yang menyimpang, terutamanya jika matlamat tarif adalah untuk menjadikan AS hebat semula (make America great again).

“Oleh itu, dari segi strategi untuk Malaysia adalah untuk untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan, terutamanya sekarang China juga berkembang dari segi membuka pasaran domestik.

“Jadi terdapat potensi besar untuk terus membekalkan kepada China dan apabila mereka mengeksport industri yang kurang berdaya saing atau mungkin teknologi yang telah matang, beberapa industri teknologi rendah boleh dipindahkan lebih dekat ke pembeli atau kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Cerapan Belanjawan MIDA-MIER – Melangkah ke arah 2025 di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, semalam.

Beliau berkata, seperti yang dibuktikan oleh lonjakan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), Malaysia telah memperoleh keuntungan daripada strategi China Plus One yang diguna pakai oleh syarikat multinasional global sebagai tindak balas kepada peningkatan pertikaian perdagangan AS-China semasa penggal pertama Trump dan diteruskan melalui pentadbiran Joe Biden.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Ekonomi Kenanga Investment Bank Berhad, Wan Suhaimie Wan Mohd Saidie berkata, penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS agak berisiko kepada ekonomi negara terutamanya dengan Trump menjadi presiden buat penggal kedua.

Beliau berkata, Trump mempunyai pendekatan yang lebih tegas dalam pentadbirannya.

“Jadi ia akan menjadi sukar. Bagaimana kedudukan kita Malaysia sebagai sebuah negara kecil, berada di ‘kelab’ di mana semua paksi lain menentang kuasa besar akan mendapat manfaat daripada sini.

“Mungkin ada manfaat dari segi perdagangan pada tahap tertentu, tetapi persatuan dengan China, Rusia dan negara lain termasuk Iran akan menjadi agak berisiko,” katanya.

Dalam majlis berasingan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan kerajaan akan terus memantau cadangan AS berkenaan meskipun Malaysia hanya negara rakan kongsi blok ekonomi itu.

“Kita bukan anggota BRICS. Malaysia kini bersama negara-negara yang baru sahaja menjadi negara rakan kongsi BRICS sebagaimana Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Sekali lagi, saya berpandangan kita perlu memperhatikan dengan teliti potensi pengumuman yang mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada negara-negara BRICS,” katanya.

Ahad lalu, Trump mengancam akan kenakan tarif 100 peratus jika negara anggota BRICS meneruskan perancangan melancarkan sistem kewangan baharu yang mungkin melemahkan dolar AS.

Kenyataan itu dibuat sebagai susulan kepada sidang kemuncak BRICS yang berlangsung Oktober lalu di Kazan, Russia, di mana negara anggota membincangkan usaha meningkatkan transaksi bukan dolar dan pada masa sama, mengukuhkan mata wang tempatan. – UTUSAN