Young Tigress idam layak merit

Sukan

SKUAD hoki wanita remaja negara kini dalam misi penting untuk layak secara merit ke Piala Dunia Remaja Wanita 2025 melalui Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2024 di Al Amarat, Muscat, Oman dari 7 hingga 15 Disember ini.

Sebanyak lima slot ke Piala Dunia dipertaruhkan di kejohanan ini dengan Young Tigress diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan gergasi seperti India dan China, selain Thailand dan Bangladesh.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Saiyuti Abd. Samat optimis terhadap kemampuan skuad yang dibarisi 11 pemain dengan pengalaman bersama skuad senior.

“Pada 2022, Malaysia ke Piala Dunia Remaja Wanita selepas Jepun menarik diri, jadi untuk tahun 2025, saya menyasarkan untuk pasukan layak secara merit sekaligus mencipta sejarah tersendiri kerana Malaysia tidak pernah layak secara merit sebelum ini,” katanya.

Ketua jurulatih, Lailin Abu Hassan mengakui pasukan tersebut telah mempamerkan perkembangan positif, termasuk merangkul kejuaraan kategori wanita di Piala Tun Abdul Razak 2024.

“Pasukan ini dibangunkan dengan teliti dan para pemain sudah bersedia untuk cabaran besar di Muscat,” ujarnya.

Sementara itu, pemilihan pemain dilakukan berdasarkan prestasi di beberapa kejohanan besar seperti Liga Hoki Malaysia, Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dan Trofi Juara-Juara Asia.

“Sebelas pemain telah mewakili pasukan senior, dan 10 daripada mereka baru beraksi di Trofi Juara-Juara Asia,” tambah Lailin.