Ahli perniagaan tidak mengaku pecah amanah, gubah wang haram hampir setengah juta

Perniagaan

ALOR SETAR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah dan penggubahan wang haram bernilai RM499,986 yang dilakukannya pada 2022 dan tahun lalu. 

Tertuduh, Ahmad Syaradhi Mohd. Nor, 51, membuat pengakuan itu sebaik kesemua tujuh pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini. 

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Syaradhi didakwa diamanahkan dengan wang deposit keselamatan berjumlah RM315,500 untuk membuat pembayaran balik pembiayaan pemfaktoran bagi syarikat MT Agrofood Industries Sdn. Bhd. untuk diserahkan kepada Ikhtiar Factoring Sdn. Bhd. 

Dia didakwa dengan curang menggunakan wang itu bagi keperluan peribadi melalui akaun Maybank atas nama syarikat Jaring Pelangi Trading dimiliki isterinya.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah harta di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keenam di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), dia didakwa menerima wang berjumlah RM63,734; RM14,185 dan RM66,682 melalui akaunnya dan akaun isterinya yang merupakan hasil aktiviti haram. 

Dalam tiga pertuduhan lain, tertuduh didakwa menggunakan wang sebanyak RM7,900; RM14,185 dan RM15,800 yang juga merupakan hasil aktiviti haram. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. 

Kesemua kesalahan pecah amanah dan penggubahan wang haram itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad, Jalan Pandak Mayah di Kuah, Langkawi antara 1 November 2022 hingga 25 Julai 2023. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan itu selain tidak dibenarkan memohon atau memperbaharui pasport antarabangsa yang sudah tamat tempoh. Tarikh 8 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula. – UTUSAN