Terengganu FC ungguli ‘derbi’ Pantai Timur

Sukan

SELAYANG: Terengganu FC (TFC) berjaya memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC bagi aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Pada aksi ‘derbi’ Pantai Timur, Sang Penyu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Alif Zakaria pada minit ke-11 hasil rembatannya daripada luar kotak penalti.

Jaringan itu berpunca daripada sepakan bola mati Safawi Rasid yang tertampan benteng dibina KDN FC, sebelum tindakan susulan Alif yang melakukan lencongan ke penjuru atas sebelah kiri penjaga gol KDN FC, Fikri Che Soh.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga babak pertama berakhir meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Bersambung babak kedua, Terengganu berjaya meraih gol kedua menerusi ledakan Akhyar Rashid namun jaringan itu dibatalkan susulan pemain berusia 25 tahun itu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Gol kedua yang dicari Terengganu akhirnya menjelma pada minit ke-64 menerusi jaringan Safawi yang menyudahkan umpanan daripada pemain import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.

Begitupun, gol itu terpaksa ditunggu dalam beberapa minit sebelum disahkan susulan semakan VAR sekali lagi dilakukan kerana Safawi didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.

Jaringan itu menyuntik semangat Terengganu untuk terus memburu gol seterusnya namun beberapa peluang yang dicipta gagal disudahkan jentera serangan mereka.

Sebaliknya, KDN FC yang berjaya meraih gol pada minit terakhir perlawanan menerusi jaringan pemain import dari Palestin, Oday Ali Abdalrahim Kharoub namun ia sudah terlambat untuk menghalang Terengganu meraih kemenangan keenam dalam saingan liga musim ini.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu mengumpul 24 mata untuk berada di tangga keempat Liga Super hasil enam menang, enam seri dan tiga tewas.

Sementara itu, KDN FC kekal dikedudukan ke-12 dengan mengumpul tujuh mata.-UTUSAN