Sukatan pelajaran ‘tak relevan’ – Putera MIC desak KPM kaji semula

Pendidikan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengambil tindakan serius untuk mengkaji semula sukatan pelajaran yang didakwa semakin kompleks dan tidak relevan dengan perkembangan pelajar pada setiap peringkat.

Ketua sayap Putera MIC Kebangsaan Dr Shatesh Kumar Sangar berkata sukatan pelajaran sedia ada bukan sahaja tidak relevan tetapi turut memberi tekanan kepada pelajar.

Menurutnya, ini juga mengurangkan keberkesanan proses pembelajaran dan menyebabkan kurangnya tumpuan kepada pembangunan kemahiran hidup dan emosi pelajar.

“Tekanan dalam kalangan pelajar sekolah bukanlah disebabkan oleh sistem peperiksaan berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

“Sebaliknya, punca utama yang menyebabkan tekanan tersebut adalah silibus yang semakin padat dan tidak relevan dengan tahap perkembangan pelajar.

“Kita tidak boleh terus menuding jari kepada peperiksaan semata-mata apabila masalah utama adalah silibus yang terlalu banyak dan tidak sesuai dengan kapasiti mental pelajar. Sistem pendidikan kita sudah terlalu lama gagal untuk memahami bahawa bebanan pembelajaran yang berlebihan hanya mencipta generasi yang tertekan dan cemas, bukannya pintar dan berdaya saing.

“Pelajar terpaksa menghafal berjela-jela fakta tanpa memahami intipati pembelajaran itu sendiri. Apa yang lebih teruk, mereka tidak diberi ruang untuk berfikir kritis dan mengembangkan kreativiti mereka,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3 bertujuan mengurangkan tekanan akademik dalam kalangan pelajar sekolah dan mencegah kes bunuh diri akibat tekanan.

“Sebab itu di peringkat kementerian kita ambil pendekatan mansuhkan peperiksaan. Jadi tak ada lagi pembelajaran berasaskan peperiksaan. Orientasi peperiksaan sudah tak ada tapi ditumpukan pada pembelajaran berasaskan inkuiri, eksplorasi, berasaskan pengalaman, kontekstual dan juga pentaksiran dalam sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik anak-anak ini

“Jadi anak-anak ini akan diberikan pengalaman pembelajaran berkaitan konten dan pengalaman dalam pembelajaran dan bukan lagi untuk peperiksaan semata-mata,” katanya di Dewan Rakyat.

Pun begitu, Shatesh berkata kerajaan tidak boleh terus membiarkan pelajar berdepan dengan sistem yang lebih menekankan hafalan daripada pembelajaran yang benar-benar mendalam dan berdaya saing.

“Apatah lagi ketika ini masalah keciciran murid, kemahiran literasi serta kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) turut membimbangkan.

“Saya mendesak supaya kerajaan memberi tumpuan kepada perubahan yang menyeluruh, dengan memperbaiki silibus agar ia lebih relevan, kurang membebankan, dan lebih memberi ruang untuk perkembangan holistik pelajar.

“Saya ingin menegaskan bahawa masa depan negara terletak pada generasi muda, dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan mereka dibekalkan dengan pendidikan yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga seimbang dari segi perkembangan mental, fizikal dan emosi,” katanya.