Nilai pembinaan cecah RM183.7 bilion, tertinggi sejak 2016

Perniagaan

PETALING JAYA: Penawaran kontrak daripada sektor swasta dan awam aktif dijalankan setakat ini, dengan projek pembinaan bernilai RM183.7 bilion ditawarkan pada 11 bulan pertama tahun ini, 20 peratus lebih tinggi berbanding RM152.9 bilion bagi setahun penuh 2023, kata RHB Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan berkata, perkembangan itu juga dijangka menjadi nilai tahunan tertinggi sejak 2016, apabila kontrak sejumlah RM241 bilion ditawarkan pada masa itu.

“Tambahan lagi, projek awam yang dianugerahkan sepanjang 11 bulan tahun ini bernilai RM51.5 bilion telah mengatasi paras tertinggi tahunan sebelum ini iaitu RM50.6 bilion pada 2016.

“Ini sekali gus menunjukkan projek sektor awam semakin banyak ditawarkan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

RHB Investment Bank berkata, prospek bagi bangunan bukan kediaman, termasuk pusat data dan kemudahan perindustrian tetap kukuh dengan kontrak bernilai RM138.8 bilion dianugerahkan sepanjang 11 bulan tahun ini berbanding RM83.6 bilion pada 2023.

Menurutnya, perkara tersebut bukan satu kejutan kerana kerajaan Selangor telah meluluskan pelaburan sebanyak RM34.9 bilion pada separuh pertama 2024 berbanding RM29.7 bilion pada separuh pertama 2023.

Tambahnya yang memetik Savills Malaysia, melangkah ke hadapan, bekalan ruang penggudangan/logistik seluas 11.3 juta kaki persegi akan masuk ke pasaran sehingga 2027 daripada 55.3 juta kaki persegi yang ada pada separuh pertama 2024.

Mengulas sentimen untuk masa hadapan, bank pelaburan berkata, sementara projek Aliran Transit Massa 3 (MRT3) dijangka mula dibina pada 2027, pihaknya berpandangan ada peluang lain selain daripada Aliran Transit Ringan (LRT) Pulau Pinang dan juga projek lain yang mungkin mendorong sentimen.

Jelasnya, projek akan datang iaitu Lebuh Raya Span Ipoh Barat (sekitar RM6.2 bilion), pengembangan Lapangan Terbang Pulau Pinang (kira-kira RM1.6 bilion) dan projek pelabuhan laut dalam Sarawak (antara RM25 bilion dan RM30 bilion), di samping bekalan pusat data berkapasiti sekitar 766.9 megawatt (MW) di Malaysia, mungkin bermakna kerja pembinaan akan mencecah nilai RM29 bilion hingga RM34 bilion.

“Rata-rata syarikat kontraktor besar dilihat menaiki rantaian nilai untuk melaksanakan kerja lebih rumit, seperti kemudahan pusat data dan perindustrian daripada projek bangunan hartanah, peluang kerja mungkin semakin luas terbentang buat syarikat kontraktor bersaiz sederhana,” ujarnya.

Bank pelaburan kekal ‘overweight’ dengan sektor pembinaan dan pilihan utama mereka adalah Gamuda Bhd., Kerjaya Prospek Group Bhd. dan Sunway Construction Group Bhd. – UTUSAN