Selangor wajib tumpaskan Cebu FC

Sukan

PETALING JAYA: Pertembungan menentang Cebu FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menjadi peluang terbaik untuk pengendali baharu Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi ‘menambat’ hati peminat-peminat The Red Giants dengan menghadiahkan kemenangan.

Dua kekalahan berturut-turut dialami ketua jurulatih dari Jepun itu selepas tewas 1-2 kepada Muangthong United dan Sri Pahang yang menyaksikan Selangor terlepas tiket awal ke pusingan 16 ACL2 dan tersingkir daripada persaingan Piala Malaysia.

Gergasi Merah wajib meraih kemenangan ke atas kelab Filipina itu dalam aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Rizal Memorial, Manila, hari ini.

Dalam masa yang sama, Selangor juga perlu mengharapkan Muangthong United tidak menewaskan Jeonbuk di Stadium Rajamangala, Bangkok untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Tekanan tinggi pasti dirasai Kinoshi ketika ini untuk memberi ‘hadiah’ pertama kepada penyokong Selangor dengan membawa skuad itu ke pusingan 16 terbaik ACL2.

Kinoshi bagaimanapun menjelaskan pasukannya akan belajar dari dua kekalahan itu untuk bangkit pada aksi seterusnya terutama bagi perlawanan menentang Cebu.

“Kami akan membuat penilaian dari dua perlawanan itu untuk menunjukkan perbezaan dan perlawanan seterusnya di Manila menentang Cebu.

“Saya belum dapat memberikan kemenangan yang diharapkan oleh penyokong dalam dua perlawanan terakhir ini tetapi saya ingin semua tahu bahawa ini bukanlah pengakhiran.

“Semestinya kami belajar, berkembang dan menggunakan pengalaman ini untuk membina konsisten dan memperbaiki diri untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Kekalahan kepada Muangthong United di Stadium MBPJ, Khamis lalu menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul tujuh mata, satu mata di belakang kelab Thailand itu yang menghuni tangga kedua.

Jeonbuk sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik memimpin kumpulan dengan mengumpul 12 mata manakala Cebu hanya menghimpun satu mata di kedudukan tercorot.- UTUSAN