Selesaikan tunggakan cukai 2024 segera!

Pendidikan

PETALING JAYA – Cukai bukan sekadar kewajipan undang-undang, ia merupakan sumber utama kepada pendapatan negara dan memberi manfaat besar kepada pembangunan serta kebajikan seluruh rakyat.

Menurut kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), pembinaan negara dapat direalisasikan apabila setiap rakyat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.

“Hasil daripada kutipan cukai digunakan untuk menyokong pelbagai sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan infrastruktur.

“Sebagai contoh, cukai membolehkan kerajaan membina sekolah dan universiti untuk memastikan rakyat mendapat pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Jelas kenyataan tersebut, salah satu tunjang utama kepada kejayaan sistem percukaian negara adalah kepatuhan cukai.

“Setiap individu dan perniagaan bertanggungjawab melaporkan pendapatan mereka dengan jujur dan membayar jumlah cukai yang sewajarnya.

Portal MyTax tidak hanya memudahkan, malah memastikan segala urusan pencukaian dilakukan secara cekap sambil mengurangkan kesilapan.

“Kegagalan melakukannya bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi turut menjejaskan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lancar,” jelasnya.

Sehubungan itu, HASiL komited untuk memastikan setiap rakyat dapat menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan mudah dan lancar.

Bermula 1 Januari 2024, semua urusan cukai akan dilakukan sepenuhnya melalui platform digital di Portal MyTax.

“Melalui portal ini, anda boleh mengakses maklumat cukai, me­laporkan pendapatan dan membuat pembayaran secara dalam talian, semuanya hanya dengan beberapa klik sahaja.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat cukai menerusi platform media sosial LHDN se­perti Facebook, Instagram, TikTok, X (Twitter) dan YouTube,” katanya.

Oleh itu, sebelum tirai 2025 dibuka, inilah masa terbaik untuk untuk menyemak dan menyelesaikan tunggakan cukai bagi tahun 2024, jika ada.

“Jangan lupa manfaatkan pelepasan dan rebat cukai yang ditawarkan untuk mengurangkan bayaran cukai anda pada tahun hadapan.

“HASiL sentiasa bersedia membantu dengan segala informasi yang diperlukan, pengguna boleh melayari www.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya. -KOSMO! ONLINE