Malaysia berpotensi jadi hab serantau pengeluaran, inovasi EV

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi untuk menjadi hab serantau bagi pengeluaran dan inovasi kenderaan elektrik (EV), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau yang merangkap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, Malaysia komited sepenuhnya untuk membina masa depan yang mampan untuk generasi akan datang, dengan pengangkutan memainkan peranan penting dalam pelan peralihan tenaga negara. 

“Sebagai salah satu penyumbang utama kepada emisi gas rumah kaca, sektor pengangkutan adalah fokus utama dalam usaha Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon. 

“Dengan memodenkan sektor mobiliti, kami bertujuan untuk mengurangkan emisi daripada pengangkutan komersial dan persendirian, sambil memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan. 

“Negara ini telah membuat kemajuan yang ketara dalam mempromosikan EV, memperluaskan infrastruktur pengecasan, dan memberi insentif kepada amalan mampan dalam industri automotif. 

“Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk masa depan yang lebih bersih dan hijau, selaras dengan matlamat kemampanan global,” katanya dalam ucapan dalam Majlis perasmian edisi ke-10 Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 di sini semalam.

Jelasnya, sangat menginspirasikan melihat bagaimana industri ini sudah mula mengamalkan amalan lestari, daripada pengeluaran yang cekap tenaga kepada penerapan prinsip ekonomi kitaran. 

“Sebagai contoh, Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 menekankan pembangunan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) dan Mobiliti sebagai Perkhidmatan (MaaS), dengan mempromosikan kenderaan cekap tenaga dan penyelesaian mobiliti yang lestari.

“Pertumbuhan industri ini juga membuka peluang besar bagi pengeluar tempatan dan PKS untuk berintegrasi ke dalam rantaian bekalan global,” katanya. 

Jelasnya, KLIMS 2024 merupakan platform yang amat baik untuk menyaksikan sendiri kemajuan luar biasa dalam teknologi automotif. 

“Visi ini disokong oleh kerjasama serantau Malaysia melalui inisiatif Grid Kuasa Asean, yang selaras dengan kepimpinan negara sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, bagi memastikan masa depan tenaga yang lestari. 

“Misi Petra untuk mencapai sifar emisi karbon menjelang 2050 turut menegaskan komitmen kami, dengan teknologi canggih seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), storan hidro pam, dan Penyimpanan dan Penangkapan Karbon (CCS) yang sudah dipertimbangkan,” katanya. 

Dalam majlis sama, Proton mempamerkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, X50 Sport Edition sempena pameran berkenaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, KLIMS 2024 adalah pentas yang sempurna untuk mempamerkan kemajuan terbaru kumpulan.

“Daripada pelancaran EV pertama Proton yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga membenarkan pengunjung merasai sendiri kehebatan kereta perlumbaan R3 serta mempamerkan konsep ‘sporty’ terkini yang berasaskan Proton X50 2024. 

“Di samping itu, Proton akan berkongsi visi kumpulan untuk mobiliti mampan di masa depan sementara meneroka konsep dan arah yang sekali lagi akan menetapkan nada untuk industri automotif negara,” katanya. – UTUSAN