Perjuangan JDT belum berakhir- Bidoglio

Sukan

ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui tidak panik biarpun kehilangan tiga pemain utama menjelang dua aksi terakhir Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE)

Bidoglio juga terpaksa melupakan khidmat Murilo Henrique dan Park Jun Heong apabila mereka dilayangkan kad merah ketika terikat 0-0 dengan Buriram United, kelmarin

Situasi itu pasti merencatkan perancangan JDT yang akan berdepan Central Coast Mariners di Australia pada 11 Februari, diikuti aksi terakhir menentang wakil Korea Selatan, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim.

Dalam masa yang sama, pengendali dari Argentina itu turut kehilangan Juan Muniz yang digantung satu perlawanan susulan mengutip kad kuning ketiga dalam saingan peringkat kumpulan.

“Ketiadaan pemain ini pastinya memberi kesan dalam persembahan pasukan, namun JDT mempunyai skuad yang besar dan memiliki ramai pemain yang boleh mengisi kekosongan itu.

“Perjuangan Harimau Selatan dalam ACLE masih belum berakhir dan kita tidak boleh lagi tersilap langkah bagi mengharungi dua aksi terakhir itu,” kata Bidoglio.

Sementara itu, pertahanan JDT, Eddy Israfilov yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan memuji rakan pasukan yang tidak hilang fokus biarpun beraksi dengan sembilan pemain.

“Perjalanan JDT masih belum berakhir, kita ada dua perlawanan lagi dan perlu yakin bahawa kita mampu kembali bangkit mendapat sentuhan kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu,pengendali Buriram United, Osmar Loss mengakui berpuas hati selepas berjaya mencuri satu mata ketika berdepan JDT di gelanggang keramat mereka.

Katanya, pemain boleh melakukan yang lebih baik ketika tuan rumah beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh lebih 30 minit sekiranya memberi tekanan lebih terhadap JDT yang banyak bertahan.

“Satu mata yang diperoleh di tempat lawan cukup bermakna dan kita perlu raikan. Siapa tahu ini akan membantu pasukan untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya,” katanya.

Pada perlawanan keenam saingan Zon Timur ACLE kelmarin, tiga kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan yang menyaksikan Murilo dan Jun Heong dibuang padang, manakala Kapten Buriram, Theerathon Bunmathan turut menerima nasib sama.