Sejuta penjual, usahawan guna TikTok kembangkan perniagaan

Perniagaan

SHAH ALAM – TikTok kini menjadi pilihan utama usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini untuk mempromosi dan memasarkan produk keluaran mereka.

Pengarah Kerjasama Strategik, TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz mengakui platform e-dagang itu kini mempunyai sejuta penjual di seluruh negara dengan 98 peratus penjual adalah terdiri daripada usahawan PMKS.

Menurutnya sehingga kini, tiga kategori tertinggi jualan adalah melibatkan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) seperti makanan dan minuman, kosmetik termasuk fesyen dan gaya hidup.

“Kami berbesar hati menyaksikan kemampuan jenama-jenama tempatan ini mencapai kenaikan jualan lebih 4.5 kali ganda pada jualan 11 November lalu berbanding hari biasa.

“Contohnya pencipta kandungan konten tempatan seperti Pinn Yang dan Khairul Aming yang berjaya memanfaatkan kuasa perdagangan sosial untuk menyokong PMKS tempatan menjana jualan yang besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jelasnya, #JomLokal yang dilancarkan sejak tahun lalu turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan dan kementerian yang terlibat.

“Antara usahawan tempatan yang berjaya di TikTok termasuklah Dapur Pak Amir, Shiffa Curry Powder, dan Empat Beranak,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bakal bekerjasama dengan TikTok Malaysia untuk membantu usahawan PMKS mempromosi dan memasarkan produk mereka secara dalam talian.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berharap kerjasama itu akan membantu memperkasa dan meningkatkan lagi jualan usahawan PMKS.

Beliau berkata, sebagai contoh, Tekun Nasional iaitu agensi di bawah Kuskop akan bekerjasama dengan TikTok Malaysia untuk membina satu Live Studio di Sabah dan juga di Sarawak, bagi membolehkan usahawan kita memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara dalam talian.