Tekad KKDW santuni 8.1 juta masyarakat desa, tiada satu kawasan ketinggalan

Pendidikan

PUTRAJAYA: Aspirasi Desa Madani yang menjadi peta hala tuju pelbagai program Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ternyata berada di landasan tepat selepas genap dua tahun Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengemudi kementerian itu.

Teras utama pelan hala tuju itu iaitu Kemahiran dan Pengetahuan, Keberkesanan dan Kecekapan, Data dan Digital, serta Wow-Factor memberi impak tinggi terutama dalam merangka pendekatan strategik yang menjadi game-changer dalam pembangunan desa.

Antara pendekatan itu ialah Desa to Global (D2G), Profit Center Thinking, After Sales Service, Success Story on TVET, dan Halal to Global (H2G).

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, konsep, pendekatan dan saranan yang dibawa berjaya menjadikan KKDW antara kementerian terbaik dari sudut prestasi pengurusan dan impaknya kepada rakyat khususnya di kawasan desa.

Jelas beliau, tiga bidang utama telah mencatat kejayaan yang membanggakan iaitu pendidikan, ekonomi, dan pembangunan infrastruktur desa.

Bagi memperkasa bidang pendidikan, kata beliau, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz tahun ini yang menggabungkan elemen kemahiran dan hafazan al-Quran telah berjaya melatih 1,366 pelajar sehingga 31 Oktober lalu melebihi sasaran ditetapkan berjumlah 1,217 pelajar.

“Program Pra Tahfiz KEMAS telah melahirkan 54,885 kanak-kanak menguasai lebih daripada 10 surah, menghampiri sasaran 62,175 kanak-kanak.

“Selain itu, seramai 104 orang murid Orang Asli cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang memperolehi 5A ke atas, manakala bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), seramai 37 orang murid Orang Asli memperoleh PNGK 2.80 ke atas dari seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024 dan sambutan Hari Inovasi dan Kualiti KKDW, di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, dari sudut kejayaan pembangunan ekonomi pula, KKDW juga mencatat prestasi cemerlang dan melebihi sasaran tahun ini terutama melalui Program TVET Teknopreneur yang berjaya melatih seramai 1,486 graduan (135.1 peratus daripada sasaran) mengikuti program di Institusi Pendidikan MARA (IPMA).

Kedua, Program Pendigitalan Usahawan Desa telah membantu 1,224 usahawan (102 peratus daripada sasaran) memanfaatkan platform e-dagang di lima lokasi terlibat.

Bagi pembangunan infrastruktur desa pula, beliau berkata, KKDW terus mencatat pencapaian memberangsangkan antaranya Projek Biogas FELCRA Jayaputra oleh FELCRA telah diiktiraf sebagai loji terbesar di Malaysia.

Kejayaan ini turut dicapai melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dengan membina 1,200 rumah baharu dan 5,602 rumah dibaik pulih selain Program Ameniti Sosial telah berjaya melaksanakan 522 projek berbanding sasaran awal 400 projek.

“Sebanyak 1,272 rumah menerima bekalan elektrik, dan 4,737 rumah dibekalkan air yang memberi manfaat masing-masing kira-kira 6,360 dan 23,685 penduduk desa.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha gigih dan komitmen anda semua. Saya mahu kita terus melipatgandakan usaha dan sentiasa menyantuni 8.1 juta masyarakat desa di seluruh negara. Saya mahu tiada satu kawasan desa pun ketinggalan,” katanya.

Berhubung sambutan Hari Inovasi dan Kualiti KKDW, Ahmad Zahid menekankan bahawa budaya inovasi perlu dilonjakkan dengan lebih drastik sekali gus melonjakkan kementerian kekal kompetitif dan berdaya saing melalui pemikiran kreatif dan inovatif.

“Untuk mencapai matlamat ini, saya menyeru semua pihak menggandakan usaha dalam mencipta lebih banyak idea baharu yang mampu memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan. Inovasi ini, jika dimanfaatkan sepenuhnya, pasti dapat memakmurkan masyarakat desa secara keseluruhannya.

“Selain itu, saya ingin menggesa badan-badan berkanun di bawah KKDW yang memiliki syarikat atau anak syarikat untuk terus mengaplikasikan teknologi dan inovasi baharu dalam setiap projek dan program yang dilaksanakan sekali gus mampu menjadi profit centre yang menyumbang kepada pendapatan tinggi, dan bukan hanya sekadar cost centre,” katanya. –UTUSAN

PEMENANG ANUGERAH KUALITI DAN INOVASIKKDW 2024

1. ANUGERAH INOVASI PERKHIDMATAN AWAM (PENGURUSAN): MARA (MyMRSM)
2. ANUGERAH INOVASI PERKHIDMATAN AWAM (TEKNIKAL) – KETENGAH (SISTEM PENGGERA AMARAN AIR KETENGAH)
3. ANUGERAH VIDEO KREATIF MADANI: FELCRA (EHSAN TERHADAP PAK MAN)
4. ANUGERAH KUALITI PENGURUSAN LATIHAN: INFRA
5. ANUGERAH KUALITI EKOSISTEM KONDUSIF SEKTOR AWAM (EKSA): PENGURUSAN SUMBER MANUSIA (PSM)
6. ANUGERAH INOVASI PEMBUDAYAAN DIGITAL (AIPD): PENGURUSAN SUMBER MANUSIA (PSM)
7. ANUGERAH KUALITI PENGURUSAN KENDERAAN: PEJABAT KKDW NEGERI SARAWAK