Penguasaan pasaran 10 bank tempatan naik kepada 82.4% pada suku ketiga

Perniagaan

PETALING JAYA: Penguasaan pasaran 10 bank tempatan meningkat kepada 82.4 peratus dengan peningkatan 49 mata asas suku ke suku pada suku ketiga 2024 berdasarkan bahagian pasaran domestik, menurut laporan terbaru Kenanga Investment Bank.

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, Maybank terus memperkukuh kedudukan dengan bahagian 18.6 peratus penguasaan pasaran, meningkat 85 mata asas tahun ke tahun (20 mata asas suku ke suku) berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pinjaman perumahan.

“Sementara itu, Public Bank pula mencatatkan 17.6 peratus penguasaan pasaran, meningkat 10 mata asas tahun ke tahun (15 mata asas suku ke suku) berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam pembiayaan sewa beli.

“CIMB dan AmBank pula dilihat agak perlahan dalam pertumbuhan pinjaman, namun ini adalah strategi mereka untuk memberi tumpuan kepada portfolio dengan margin lebih tinggi dalam segmen PKS,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Jelasnya, BIMB Holdings mencatatkan prestasi paling perlahan dengan penurunan 12 mata asas berbanding tahun sebelumnya (pengurangan satu masa asas suku ke suku), disebabkan oleh penebusan awal daripada beberapa akaun korporat.

“Menjelang suku keempat 2024, bank dijangka berdepan dengan persaingan deposit yang lebih sengit menjelang akhir tahun, namun Kenanga optimis bahawa ini tidak akan menjejaskan keuntungan bank secara signifikan.

“Kebanyakan bank menjangkakan pulangan ekuiti (ROE) yang lebih kukuh berbanding tahun kewangan 2023.

“Kenanga turut yakin dengan kualiti aset sektor perbankan secara keseluruhannya, dengan menyatakan bahawa keperluan peruntukan adalah rendah dan hanya beberapa bank yang berdepan dengan cabaran tertentu.

“Walaupun terdapat potensi cabaran daripada perubahan dasar monetari di Amerika Syarikat dan negara serantau, Kenanga mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan,” katanya.

Ujarnya, pelabur disarankan untuk memberi tumpuan kepada saham seperti Hong Leong Bank (HLB), AmBank dan Maybank yang dijangka mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan.

“Keputusan suku ketiga lalu adalah menggalakkan, dengan lapan daripada 10 bank melaporkannya jangkaan dengan MBSB mengejutkan secara positif di sebalik prestasi pendapatan operasi bukan faedah (NOII) yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN