INSKEN bantu usahawan mikro jana RM23 juta hasil jualan

Perniagaan

PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) membantu usahawan mikro di seluruh negara menjana peningkatan hasil jualan bernilai RM23 juta sepanjang tahun ini.

Ia diraih melalui pelaksanaan Program Bimbingan INSKEN pada 2024, terbahagi kepada 19 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan lima Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Menurut kenyataan, INSKEN menggandakan sebanyak RM6.10 bagi setiap RM1 bajet yang dibelanjakan khusus untuk 24 program tersebut, manakala empat Program INSKEN Start-Up Coaching turut diadakan di sepanjang tahun ini dan pencapaiannya diukur melalui peningkatan skor diagnostik.

“Terbaharu, sebanyak 245 peratus peningkatan skor diagnostik direkodkan oleh 25 usahawan yang baru sahaja tamat program bimbingan usahawan permulaan tersebut.

“Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya, termasuk INSKEN akan memanfaatkan sebaiknya bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2025.

“Beliau yakin, INSKEN komited melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui peruntukan yang akan diberikan dan seterusnya dapat memantapkan ekosistem keusahawanan negara dengan hasil-hasil pencapaian cemerlang seperti hari ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, INSKEN telah menggunakan peruntukan yang disalurkan sebaiknya sehingga mampu menyumbang RM23 juta peningkatan hasil jualan di sepanjang tahun ini.

“Khidmat bantuan berbentuk program latihan dan bimbingan keusahawanan akan sentiasa berada di tahap optimum dan INSKEN akan sentiasa mengutamakan keberhasilan program agar ia dapat memberi impak positif kepada usahawan mikro khususnya.

“Terkini, INSKEN meraikan 294 usahawan laitu kumpulan terakhir bagi tahun 2024 melalui Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2024.

“Tiga edisi majlis graduasi telah dijalankan sebelum ini yang turut menyumbang kepada hasil pencapaian keseluruhan 2024.

“Selain itu, INSKEN turut merakamkan penghargaan kepada rakan kolaborasi iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang juga bekerjasama dalam menjayakan pelaksanaan program bimbingan pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN