Dewan Rakyat: 23,957 murid terjejas banjir

Pendidikan

KUALA LUMPUR – Seramai 23,957 murid ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada 5 November lalu.

Menteri Pendidikan, Fahdline Sidek berkata, tiga negeri yang mempunyai bilangan tertinggi murid terkesan dan ditempatkan di PPS ialah Kelantan dengan jumlah 17,873 orang,
diikuti Terengganu 3,893 orang dan 1,580 murid di Kedah.

“Sehingga pukul 8 pagi, 5 Disember 2024, terdapat seramai 7,212 murid masih berada di PPS premis sekolah iaitu di Kelantan seramai 5,305 orang dan Terengganu 1,090 orang.

“Di Kedah seramai 767 murid, Melaka seramai 30 murid, Johor seramai 18 murid dan Perak seramai dua murid,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-KULIM BANDAR BAHARU) yang mahu tahu berapakah bilangan pelajar yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dan jumlah sekolah yang digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat ini.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, sejak bermula MTL sebanyak 470 buah institusi pendidikan telah dioperasikan sebagai PPS melibatkan 392 buah sekolah rendah, 77 buah sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.

“Tiga negeri tertinggi yang mempunyai sekolah yang dijadikan PPS adalah Kelantan 240 buah sekolah, Terengganu 137 buah sekolah dan Kedah 51 buah sekolah.

“Sehingga pukul 8 pagi, 5 Disember 2024, terdapat sebanyak 117 buah sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS (93 buah sekolah rendah dan 24 buah sekolah menengah),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) di PPS.

“SST terdiri daripada sukarelawan Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan dengan situasi banjir.

“AST pula membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE