KUALA LUMPUR – Pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap pekerja asing selaras dengan piawaian antarabangsa iaitu ketetapan Artikel 68, Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO)
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial untuk semua pekerja.
“Langkah itu seiring dengan usaha KWSP dalam memastikan semua pekerja di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan untuk turut mempunyai simpanan persaraan.
“Bagi menangani risiko ketidakcukupan simpanan persaraan pada usia tua serta akses kepada perlindungan sosial,” kata MoF menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Negara di sini hari ini.
Mof menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong berhubung keputusan caruman mandatori KWSP ke atas pekerja asing yang bakal membebankan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Menurut MoF, kerajaan kini sedang menjalankan kajian terperinci mekanisme pelaksanaan terbaik caruman KWSP terhadap pekerja asing.
Jelas berkata, sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh sedang dilaksanakan demi memastikan dasar dibuat adalah holistik dengan mengambil kira semua pandangan dan input.
Tambah MoF, langkah itu juga meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat global melalui dorongan peralihan perniagaan ke arah automasi.
“Sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga bukan warganegara,” kata MoF. – KOSMO! ONLINE