Banjir: 470 premis pendidikan dijadikan PPS

Pendidikan
Sehingga jam 8 pagi 5 Disember 2024, terdapat 117 sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS melibatkan 93 sekolah rendah dan 24 sekolah menengah. Foto Bernama

Sehingga jam 8 pagi 5 Disember 2024, terdapat 117 sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS melibatkan 93 sekolah rendah dan 24 sekolah menengah. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Sebanyak 470 premis institusi pendidikan telah dioperasikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sejak bermula Monsun Timur Laut (MTL) pada 5 November lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu melibatkan 392 sekolah rendah, 77 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.

“Tiga negeri tertinggi yang mempunyai sekolah dijadikan PPS adalah Kelantan iaitu 240 sekolah, Terengganu dengan 137 sekolah dan Kedah sebanyak 51 sekolah.

“Sehingga jam 8 pagi 5 Disember 2024, terdapat 117 sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS melibatkan 93 sekolah rendah dan 24 sekolah menengah,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, setakat ini seramai 7,212 murid masih berada di PPS premis sekolah dengan Kelantan merekodkan 5,305 murid, Terengganu (1,090) Kedah (767), Melaka (30), Johor (18) dan Perak (2).

Justeru, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) menggerakkan ‘Smart Support Team’ (SST) dan ‘Academic Support Team’ (AST) di PPS.

“SST terdiri daripada sukarelawan guru bimbingan dan kaunseling yang berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid terkesan dengan situasi banjir.

“AST pula membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS dan KPM sentiasa memantau dari semasa ke semasa fenomena banjir demi menjaga kebajikan dan keselamatan mereka,” ujarnya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan daripada Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai cadangan mengadakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Fadhlina menjelaskan, pelajar telah diberi kelonggaran untuk mengikuti mana-mana sesi pilihan mengikut kesesuaian.

“Sejak Isnin lalu hingga hari ini, pelajar yang terlibat dengan ujian bertutur (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) tidak berdepan masalah untuk menghadirkan diri ke mana-mana sesi (ujian) yang disediakan.

“Untuk persiapan peringkat KPM, kita telah mengambil kira semua keadaan termasuk sekiranya ujian bertulis akan datang berdasarkan pengaktifan Op Payung,” ujarnya.