Perak tanam 9.5 juta pokok sejak 2021

Sains

IPOH – Perak telah merekodkan penanaman sebanyak 9.55 juta pokok sejak tahun 2021 hingga 31 Oktober 2024 lalu melalui Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, penanaman 9,552 767 pokok itu melibatkan keluasan kawasan 19,165 hektar.

Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perak komited dalam melaksanakan aktiviti tersebut dengan sasaran tanaman di seluruh Perak sebanyak 10 juta pokok bagi tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025.

“Jabatan Perhutanan Negeri Perak dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, pelajar-pelajar dan masyarakat awam telah melaksanakan aktiviti penanaman pokok dengan pelbagai kaedah dan lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini ketika menjawab soalan Mohd Akmal Kamarudin (Pas-Selama) yang bertanyakan tentang program penghijauan oleh kerajaan negeri.

Tambahnya, sehingga 30 Jun 2024, keluasan keseluruhan Hutan Simpanan Kekal di negeri Perak adalah sejumlah 988,722.22 hektar yang merupakan 47 peratus daripada keluasan negeri. – KOSMO! ONLINE