Madani untuk siapa? – Aliran

Sains
Jeyakumar Devaraj hand over this memo to Prime Minister Anwar Ibrahim – THINKLEFT

Anwar Ibrahim telah mengumumkan hasrat beliau untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif di mana lapisan-lapisan miskin akan dilindungi dan dibantu.

Tetapi masalah-masalah ekonomi yang dihadapi oleh orang ramai – iaitu kumpulan berpendapatan rendah dan kumpulan pertengahan – tidak berkurangan dalam tempoh masa dua tahun yang lalu.

  • Pendapatan masih rendah untuk majoriti rakyat Malaysia – gaji median adalah lebih kurang RM2,800 sebulan. Ini bererti 50% daripada pekerja di Malaysia (jumlah mereka adalah hampir 10 juta orang) memperoleh gaji yang kurang daripada RM2,800 sebulan
  • Harga rumah dan kos sewa rumah sedang naik secara mendadak
  • Banyak keluarga menanggung beban hutang yang tinggi – yang menelan 20-40% daripada pendapatan bulanan mereka
  • Perkhidmatan kesihatan tidak memuaskan kerana hospital-hospital kerajaan terlalu sesak dan tiada doktor pakar dan alat-alat penyiasatan diagnosis yang mencukupi
  • Kaum muda menghadapi masalah pengangguran (8-10% antara mereka berumur 25-35 tahun) dan pengangguran tersembunyi (underemployment) di mana mereka terpaksa mengambil jawatan yang tidak setaraf dengan pendidikan atau latihan mereka dan dengan gaji yang rendah

Jadi, tekanan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat biasa tidak dikurangkan selepas kemenangan kerajaan “Madani”.

Namun, adakah ini salah Anwar?

Yang kaya semakin kaya

Ada pihak yang berhujah bahawa sistem ekonomi yang telah berbentuk dalam tempoh 50 tahun yang lalu adalah sangat berat sebelah dan menguntungkan lapisan yang terkaya di dunia.

Perkara ini jelas dilihat di Malaysia di mana keluaran dalam negeri kasar (KDNK) telah meningkat 24 kali ganda dalam nilai sebenar antara tahun 1970 hingga tahun 2020, manakala gaji median pekerja hanya meningkat dua kali ganda. Pada masa yang sama, jumlah hasil kerajaan turun dari 30% KDNK pada tahun 1980-an ke 15% KDNK sekarang.

Jika jumlah hasil kerajaan tetap di peringkat 30% KDNK, sudah tentu kerajaan sanggup memperuntukkan dana yang mencukupi untuk hospital kerajaan supaya memantapkan perkhidmatan kesihatan, melancarkan skim pencen warga emas, menyediakan pengangkutan awam di seluruh negara dengan harga yang berpatutan dan sebagainya.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity: Tel: 04-658 5251 email: [email protected]

Tetapi malangnya sebahagian besar daripada peningkatan dalam pendapatan negara telah disalurkan ke akaun bank pihak terkaya, iaitu pihak korporat dan bilionair – di dalam dan di luar negara.

Pendekatan neoliberal

Untuk 30 tahun selepas Perang Dunia Kedua (1945–1975), pendekatan demokratik sosial telah membentuk dasar kerajaan di seluruh dunia.

Cabaran daripada blok komunis – Rusia, Eropah Timur, China, Vietnam dan beberapa negara lain – menakutkan pihak elit di negara-negara Barat. Golongan elit Barat risau pekerja mereka juga akan memberontak dan berpihak pada gerakan kiri sedunia.

Oleh itu, golongan elit Barat terpaksa menerima tuntutan daripada kesatuan sekerja untuk gaji yang munasabah, kemudahan seperti pampasan jika tiada kerja (unemployment benefits), perkhidmatan kesihatan yang percuma atau berkos rendah, pencen warga emas dan sebagainya.

Di Malaysia, kita telah menyaksi pelancaran skim Felda, pembekalan air dan kuasa elektrik kepada hampir semua kawasan pedalaman, pembinaan klinik desa, pelancaran skim-skim seperti KWSP dan Perkeso dan sebagainya pada zaman tersebut.

Tetapi selepas kehancuran Pakatan Warsaw (1980-an) dan peralihan negara China dan Vietnam ke arah ekonomi yang berasaskan kapitalisme, ketakutan kaum elit Barat telah menurun. Mereka mula menunjukkan warna sebenar mereka. Ideologi neoliberal dibenarkan berkembang di universiti-universiti dan institusi seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Konsep-konsep seperti berikut dipromosi di seluruh dunia:

  • Kerajaan merupakan penghalang utama kepada perkembangan ekonomi negara. Kerajaan harus diperkecilkan dan regulasi terhadap kaum korporat dilonggarkan
  • Cukai dan sekatan lain terhadap kaum korporat harus diminimumkan supaya kaum korporat dapat memainkan peranan mereka untuk memacukan pertumbuhan KDNK
  • Pelaburan asing (FDI) adalah amat penting kepada negara-negara sedang membangun. Pendekatan “mesra perniagaan” harus diamalkan untuk menarik pelaburan asing. Gaji mesti ditekan pada paras yang rendah, kesatuan pekerja mesti dikawal, cukai harus dikecualikan (exempted) bagi pelabur, dan sebagainya
  • Perdagangan “bebas” dipromosi sebagai “peluru ajaib”(magic bullet) yang akan membawa kemajuan dan kemakmuran. Perjanjian-perjanjian ekonomi yang menyekat kedaulatan negara dipaksa ke atas negara dunia ketiga

Itulah sebabnya negara-negara dalam Asean telah terjerumus dalam satu perlumbaan ke paras terendah bagi kadar cukai korporat. Kadar cukai korporat di Malaysia adalah 40% keuntungan syarikat pada tahun 1988. Ia telah dikurangkan kepada 24% keuntungan pada masa kini. Ini adalah kerana Thailand berada pada kadar 20% dan Singapura pada kadar 17%.

Perkara ini tidak berlaku di Asean sahaja. Cukai korporat telah dipotong di seluruh dunia. Di Kesatuan Eropah, cukai korporat purata telah dikurangkan daripada 35% keuntungan pada tahun 1997 kepada 20.7% keuntungan pada tahun 2021.

Sementara di AS, cukai korporat yang merupakan 30% daripada jumlah hasil kerajaan pada tahun 1950-an telah menurun kepada 10% daripada jumlah hasil kerajaan pada tahun 2015.

Inilah sebab utama perlindungan sosial yang dahulu begitu menyeluruh di Eropah telah dilemahkan – dan ini telah mencetuskan pemberontakan rakyat biasa di Eropah dan AS.

Ketiadaan gerakan kiri yang dapat membaca dan menyasarkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap isu-isu sebenar, telah membenarkan situasi di mana golongan kanan dapat memperkembangkan politik chauvinis dan anti-migran.

Puas dengan prestasi kerajaan Madani?

Memang tidak!

Walaupun kami sedar bahawa “trajektori” (hala tuju) negara ke arah yang mengutamakan keuntungan korporat global terbesar telah bermula sebelum kerajaan Madani mengambil alih kuasa pentadbiran, Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat kecewa kerana Anwar dan kabinet Madani langsung tidak menyedari hakikat bahawa satu sistem penjajahan baru telah diwujudkan oleh dasar-dasar neoliberal yang dilaksanakan dalam tempoh 40 tahun yang lalu.

Oleh itu kerajaan Madani:

  • menjadikan usaha menarik lebih banyak FDI sebagai indeks prestasi utama (KPI) utama untuk mereka. Mereka bangga dengan angka-angka yang menunjukkan peningkatan FDI
  • Terus menandatangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) – sebuah perjanjian yang akan mengikat tangan kerajaan dan menyekat kedaulatan negara. Kerajaan Madani sedang mencari lebih banyak persetujuan ekonomi serupa untuk disertainya
  • Tidak mahu meningkatkan gaji minimum kepada RM2,000 seperti yang disyorkan oleh PSM dan beberapa pihak lain. Ataupun tidak melaksanakan skim pencen warga mas

Oleh kerana Anwar dan kabinetnya tidak memahami situasi yang benar, kenyataan mereka berkaitan dengan membasmi kemiskinan dan mewujudkan masyarakat yang inklusif adalah sekadar retorik sahaja. Ini sebab aspirasi kenyataan-kenyataan tersebut bercanggah dengan struktur dan hala tuju ekonomi yang sedia ada.

Melepaskan diri daripada cengkaman penjajahan baharu

Bukan senang! Ini kerana penaklukan rakyat biasa seluruh dunia oleh kaum korporat terkaya adalah satu fenomena global.

Tetapi ia tidak mustahil. Kita boleh (dan harus) membangunkan satu strategi beransuran untuk memindahkan balik kuasa terhadap pengurusan ekonomi negara ke dalam tangan kita sendiri supaya kekayaan yang dijana di Malaysia boleh diagihkan kepada rakyat kita secara adil.

Satu contoh – bolehkah kita membawa idea di peringkat Asean untuk menghentikan perlumbaan ke paras terendah bagi kadar cukai korporat?

Bolehkah Persetujuan Perdagangan Bebas Asean diubah suai untuk mencerminkan matlamat ini? Mungkin klausa baharu boleh dimasukkan ke dalam persetujuan tersebut untuk mengenakan tarif terhadap produk mana-mana negara yang mengurangkan lagi kadar cukai korporatnya?

Bolehkah kita membawa idea bahawa semua negara Asean mesti mengambil langkah untuk memperkembangkan pasaran dalaman negara (domestic market)?

Jika kita berjaya meningkatkan permintaan kasar dalam kalangan rakyat Asean yang berjumlah 650 juta orang, ini akan memacu lebih banyak pelaburan dalam pembuatan barangan dan pembekalan perkhidmatan untuk rakyat kita. Ia juga akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat kita.

Mungkin, untuk menjayakan usaha ini, kita perlu meminjam strategi Donald Trump dan mengenakan tarif terhadap import-import yang terlalu murah kerana ia akan menghakis usaha kita untuk berdikari dan membangunkan sektor pembuatan di Asean.

Bolehkah negara-negara di Asean bekerjasama untuk membina bas elektrik supaya dapat memperkembangkan pengangkutan awam yang hijau di rantau ini?

Dan bagaimana pula dengan industri farmaseutikal? Bolehkah negara-negara Asean melaksanakan usahasama dengan negara Kuba untuk menjadikan Asean berdikari dalam 90% ubat-ubat yang digunakan oleh populasi kita?

Inilah contoh perbincangan yang harus dianjurkan oleh pihak-pihak yang ingin memecahkan cengkaman penjajahan Abad ke-21.

Malangnya, walaupun kerajaan Madani telah mengambil alih pentadbiran negara kita, mereka tidak memahami keperluannya “Bandung Kedua”.

‘Bandung Kedua’

Projek Bandung 1955 telah gagal oleh kerana beberapa faktor, termasuk ketiadaan modal, ketidakcukupan pengetahuan teknikal dan kekurangan ahli sains, jurutera serta golongan profesional yang lain.

Usaha kuasa Barat untuk menggulingkan pemimpin-pemimpin yang berazam menjayakan visi Bandung – Nkrumah, Sukarno, Lumumba, Amilcar Cabral, Thomas Sankara dan ramai lagi – adalah satu lagi faktor utama.

Namun, selepas 70 tahun, dunia ketiga telah mengumpulkan modal yang mencukupi dan telah mewujudkan satu lapisan pakar sains dan profesional yang jauh lebih ramai berbanding tahun 1960-an.

Tetapi malangnya pemimpin banyak negara Asia dan Afrika, termasuk pemimpin Madani kita, telah melupakan visi Bandung. Mereka tersesat! (They have lost the plot!) Minda mereka penuh dengan kebohongan yang dibawa oleh Bank Dunia dan IMF – institusi-institusi yang wujud untuk mengekalkan dominasi korporat Barat terbesar terhadap seluruh dunia.

Apakah yang harus dilakukan?

Walaupun jauh lebih berkesan jika kerajaan yang menganjurkan perbincangan bagi strategi membebaskan negara kita dan rantau Asean daripada cengkaman penjajahan Abad ke-21, dalam keadaan di mana kerajaan sudah sesat jalan, adalah tanggungjawab kita untuk menerajui usaha penting ini.

Inilah antara kerja-kerja yang sedang dilaksanakan oleh PSM. Kami memerlukan lebih ramai orang yang idealis dan mahu memainkan peranan dalam membebaskan negara kita daripada penjajahan baharu untuk menyertai usaha ini.

The views expressed in Aliran’s media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran’s official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran’s official position.

AGENDA RAKYAT – Lima perkara utama

  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran’s work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

Jeyakumar DevarajJeyakumar Devaraj

Dr Jeyakumar Devaraj, a long-time Aliran member and contributor, served as Member of Parliament for Sungai Siput from 2008 to 2018. A respiratory physician who was awarded a gold medal for community service, he is also a secretariat member of the Coalition Against Health Care Privatisation and chairperson of the Socialist Party of Malaysia.