Bella cemerlang di dua majlis konvokesyen

Sains

KUALA LUMPUR: Diraikan dalam dua majlis konvokesyen daripada dua universiti berbeza pada tahun 2024 adalah pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan bagi gadis kelahiran Sandakan, Sabah ini.

Nurnabilah Berhaman atau lebih mesra dipanggil Bella menyifatkan kejayaan beliau menamatkan pengajian bagi dua sesi pengajian di dua universiti adalah satu rekod dan pencapaian peribadi terbaik dalam hidupnya.

“Pada bulan Ogos lalu saya naik ke pentas bagi mengambil skrol Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Pembangunan dengan Komunikasi Media, University College Sabah Foundation (UCSF) bagi sesi pengajian tahun 2020 hingga 2023.

“Empat hari lepas iaitu pada 1 Disember bertempat di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), saya sekali lagi naik ke pentas bagi menerima Ijazah Sarjana Pengajian Media bersama 120 rakan sekelas saya. Selain sokongan ibu bapa, perjalanan akademik saya ini banyak mendapat sokongan Timbalan Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris.

“Lebih mengharukan majlis graduasi ini seolah-olah satu peristiwa “flashback” 25 tahun yang lalu di mana ayah saya juga merupakan graduan yang mengenggam Ijazah Sarjana Sains (Sistematik Tumbuhan) pada tahun 1999 di universiti ini,” jelas Bella yang kini bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah.

Bella bersama bapanya, Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad dan ibunya, Lailah Elok yang menjadi tulang belakang dua kejayaannya itu.

Bella bersama bapanya, Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad dan ibunya, Lailah Elok yang menjadi tulang belakang dua kejayaannya itu.

Bella menyambung pengajian peringkat sarjana di UM pada Oktober 2023. Pengajian tersebut mengambil masa kira-kira 14 bulan dan setiap pelajar sarjana perlu menghadiri kuliah, membuat pembentangan, menjalani peperiksaan, menempuh latihan industri dan menyiapkan projek tahun akhir berdasarkan kemahiran serta minat masing-masing.

“Kajian tahun akhir memerlukan saya menubuhkan kumpulan yang dianggotai tiga orang pelajar (Nur Ain Hashim dan Wilson Cheng Wei Yang) dan saya mengetuai kumpulan tersebut. Kumpulan saya memilih kajian dalam penerbitan video korporat. Setiap kumpulan perlu memilih genre projek tahun akhir melibatkan kategori audio visual, bukan audio visual, dokumentari pendek, filem pendek dan projek penerbitan buku.

“Cabaran kami lebih kepada bagaimana kami boleh bekerjasama walaupun berbeza latar akademik-pekerjaan. Saya mempunyai latar belakang dalam bidang penyiaran, manakala dua ahli kumpulan saya terlibat dalam industri pemasaran dan pekerja freelancer.

“Projek tahun akhir ini mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan termasuk membuat laporan bertulis dan kerja-kerja penerbitan video. Kajian projek ini dibuat pada semester pertama kami mendaftarkan diri sebagai pelajar calon sarjana,” katanya. Terharu sambil dipeluk oleh kedua ibu bapanya, Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad dan Lailah Elok.

Jelas Bella lagi, lebih manis bagi dirinya dan dua ahli kumpulan apabila projek mereka itu memenangi “Hadiah Rohana Amdan” kerana dipilih sebagai Projek Terbaik daripada 30 kumpulan yang menghantar penyertaan.

Bagi Lailah Elok yang merupakan bekas pesara Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang juga merupakan penerbit rancangan, deejay dan pengacara serta pernah memenangi Anugerah Personaliti Radio Paling Versatile (Anugerah Seri Angkasa 2005) menegaskan, beliau sentiasa menyokong Bella menyambung pengajian ke peringkat yang tertinggi.

“Wanita perlu mempunyai pendidikan dan memiliki latar akademik yang baik. Saya memang galakkan Bella mengambil serius bidang akademik kerana ia boleh membantunya mengorak langkah lebih jauh dalam kerjaya yang dipilihnya.

“Saya tidak pernah menyekat minat Bella,” jelas Lailah yang juga merupakan ibu kepada Budriz dan Mukriz Berhaman.

Bella ceria bersama ibubapa dan dua adiknya, Budriz dan Mukriz Berhaman ketika majlis konvokesyen di UM.

Bella ceria bersama ibubapa dan dua adiknya, Budriz dan Mukriz Berhaman ketika majlis konvokesyen di UM.

Bagi Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad yang bertugas di Fakulti Perhutanan Tropika, Universiti Malaysia Sabah (UMS), berharap kejaayan Bella boleh menjadi inspirasi tidak sahaja kepada kedua-dua anak lelakinya, malah kepada remaja hari ini.

“Saya juga seperti Lailah, apa juga minat dan kecenderungan Bella saya sokong. Saya tidak pernah memaksa anak-anak untuk menyambung pengajian mengikut kemahuan saya.

“Kita sebagai ibu bapa perlu menerapkan nilai kekeluargaan dan moral yang baik, selebihnya ialah memahamidan menyokong minat serta kecenderungan anak-anak,” tegas Prof. Madya Dr. Berhaman.

Untuk rekod, Bella pernah menyambung persekolahan peringkat menengah di St. Machar Academy, Aberdeen (Scotland).

Beliau juga telah mendaftarkan diri sebagai calon pelajar kedoktoran (PhD) di UM bagi tajuk kajian “Kerangka Inklusiviti Untuk Kanak-Kanak Istimewa: Strategi Pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di Malaysia”.