1,000 penuntut dari 12 universiti bergabung bantu mangsa banjir

Sains

KOTA BHARU – Seramai 1,000 penuntut dari 12 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bergabung dalam melaksanakan misi bantuan mangsa banjir gelombang pertama Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.

Gabungan di bawah Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (Maskum) itu melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan yang bertindak sebagai penyelaras serta wakil dari negeri terjejas bencana.

Lain-lain ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Teknologi Mara.

Pengerusi Maskum, Profesor Dr Norkhalid Salimin, berkata, hasil saranan Kementerian Pendidikan Tinggi, Misi Skuad Ihsan Madani digerakkan ke enam daerah terjejas terutama Pasir Mas dan Tumpat yang teruk.

Norkhalid (tengah) yang turut menyertai misi bantuan banjir ke Kelantan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Norkhalid (tengah) yang turut menyertai misi bantuan banjir ke Kelantan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

“Mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh negeri secara sukarela menyertai misi, ada yang mengorbankan waktu cuti dan ada juga terjejas banjir tetapi turut sama untuk membantu mangsa bencana di Kelantan.

“Kami bergerak menggunakan bas-bas dan aset lain seperti bot, kayak serta lori 18 tan selain lebih 10 kenderaan pacuan empat roda untuk akses ke kawasan banjir,” katanya kepada pemberita pada Pelepasan Misi Skuad Ihsan Madani di padang kawad USM di sini pada Isnin.

Norkhalid berkata, antara penugasan misi ialah membantu membersihkan kediaman mangsa banjir yang sudah surut dan menghantar makanan ke rumah-rumah penduduk yang terkepung.

“Penuntut juga akan berada di pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa-mangsa lebih lima hari untuk memberikan sokongan psikologi dan mental kepada mereka.

“Lapan pensyarah juga kaunselor dari Persatuan Kaunselor Malaysia akan turut sama membantu memulihkan emosi mangsa banjir,” katanya.

Para penuntut bersiap sedia membantu mangsa banjir di daerah terjejas. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Para penuntut bersiap sedia membantu mangsa banjir di daerah terjejas. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Tambah beliau, misi berkenaan digerakkan setiap tahun dan turut diadakan di di Selangor, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, penuntut USM, Muhammad Zulhisham Zuhairi, 21, yang berasal dari Melaka berkata, dia sanggup menghabiskan masa cuti termasuk tidak pulang bertemu keluarga bagi membantu mangsa banjir.

“Saya sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda jurusan Sains Kesihatan Senaman dan Sukan.

“Saya akan membantu melakukan senaman atau fisio ringkas kepada mangsa banjir di PPS,” katanya.