Kerajaan berbelanja RM19.5 juta untuk dua teknologi baharu

Teknologi

KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM19.5 juta untuk dua teknologi baharu bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengguna pakai teknologi kamera litar tertutup di sebahagian kawasan pagar dan tembok sempadan di Padang Besar, Perlis.

Kata beliau, PGA dan PDRM kini dalam perancangan menggunakan teknologi dalam membuat kawalan atau risikan keselamatan di kawasan operasi.

“PGA telah diluluskan peruntukan perolehan aset berteknologi di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi perolehan empat unit VTOL dengan kos sebanyak RM 12 juta.

“Selain itu, perolehan lima unit Radar Terma Pengawasan Mudah Alih.dengan kos RM7.5 juta di bawah RP2 RMK12. Kedua-dua aset tersebut sedang dalam proses pembekalan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan (PN-Kota Bharu) yang memintanya menyatakan langkah yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan dalam menangani isu keselamatan sempadan Malaysia -Thailand.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, PGA dan PDRM melaksanakan Op Taring Wawasan secara berterusan di kawasan tanggungjawab yang meliputi kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kedah, Perlis dan Kelantan.

Jelasnya, operasi tersebut melibatkan penugasan pegawai dan anggota Briged Utara PGA bagi kawasan Perlis dan Kedah, manakala Briged Tenggara PGA bagi kawasan Kelantan.

Berdasarkan statistik PGA, PDRM dari tahun 2023 hingga 30 September lalu, Op Taring Wawasan merekodkan 3,031 kes dan 4,216 tangkapan dengan nilai rampasan RM346.85 juta.

“Antara kes-kes yang terlibat adalah melibatkan kesalahan berkaitan penyeludupan dadah, rokok, minuman beralkohol, petrol, diesel, dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Beliau berkata, PDRM turut bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan dalam usaha untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran melalui melalui Seksyen 27 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Katanya, antara agensi terlibat adalah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Ini untuk menjalankan operasi bersepadu secara berkoordinasi dan berkesan.

“Berdasarkan statistik pemerdagangan orang pada tahun 2021 sehingga 31 Ogos lalu telah merekodkan sebanyak 479 kes dan 911 tangkapan,” jelasnya. – UTUSAN