DUN Sabah dijangka bubar Ogos tahun depan

Politik

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka akan dibubarkan pada Ogos tahun depan bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Rudy Awah berkata, jika dilihat tempoh pemerintahan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus akan berakhir pada Oktober 2025 jadi, bulan Ogos adalah tempoh yang dijangka sesuai untuk pembubaran DUN.

Beliau menolak sebarang kemungkinan DUN Sabah akan bubar dalam tempoh terdekat atau pada awal tahun depan biarpun serangan demi serangan dilakukan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS.

Tindakan pembangkang menggunakan Langkah Kinabalu dan isu skandal rasuah ADUN yang tular baru-baru ini untuk mendesak Ketua Menteri membubarkan DUN lebih awal untuk menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dilihat tidak berjaya.

“Saya percaya rakyat di luar sana sedar dan tahu bahawa kerajaan GRS selama tempoh empat tahun ini menjaga kebajikan rakyat dan berjaya membangunkan negeri ini.

“Situasi yang berlaku jelas menunjukkan UMNO dan Parti Warisan (Warisan) tidak ada cara lain lagi melainkan memburuk-burukkan kerajaan. Apa sahaja dilakukan kerajaan semua dikatakan gagal.

“Saya rasa cukup-cukuplah dulu, tunggu bulan Oktober tahun depan, perkuatkan jentera kamu Warisan, perkuatkan jentera kamu UMNO, kami pertahankan (kerusi), kamu merebut. Kami akan mempertahankan kerajaan GRS yang ada pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, ADUN Pitas itu menafikan terlibat dalam penjualan tanah penduduk kampung seperti yang ditularkan dalam laman media sosial.

Justeru, Ketua Daerah Pitas telah membuat laporan polis pada 3 Disember di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Kepayan bagi meminta siasatan dilakukan terhadap dua akaun Facebook dan Tiktok yang memuat naik paparan mengaitkannya dan dua lagi ADUN dengan isu penjualan tanah.

Katanya, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan saman terhadap dua pemilik akaun Facebook yang melemparkan fitnah terhadapnya. Ini semua adalah mainan politik yang bertujuan menjatuhkan maruah kerajaan di bawah pimpinan GRS.

Jelas beliau, sebagai wakil rakyat mereka harus sentiasa bersedia dengan ancaman dengan apa juga tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka. – UTUSAN