DEBARAN untuk mengetahui karya manakah yang bakal dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) semakin terasa.
Malam kemuncak Anugerah FFM33 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur, Sabtu ini, jam 8.30 malam.
Sebanyak tujuh filem cereka bolos dalam kategori Filem Terbaik, adalah karya berkualiti dan memenuhi kriteria dicari barisan juri, tahun ini.
Tujuh filem tersebut ialah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie dan Hungry Ghost Diner.
Azmir
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, persaingan dalam kategori Filem Terbaik adalah sangat sengit dan pihak penjurian bersetuju mengumumkan tujuh filem cereka bertanding kerana setiap karya memiliki kekuatan tersendiri.
“Sepatutnya hanya lima filem dipilih dalam senarai Top 5 bagi kategori Filem Terbaik, tetapi barisan juri buat keputusan pilih tujuh filem. Kami menerimanya kerana sudah mendapat penjelasan mengenai banyak saingan tahun ini.
“Melihat senarai tujuh filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik, kami nampak ada peningkatan dari segi kualiti dan saingan. Ini kerana ada filem sudah memenangi banyak festival antarabangsa dan mendapat kutipan pecah panggung.
“Selain itu, bukan sahaja filem bahasa Melayu, tetapi bahasa Cina dan ada juga filem berlainan genre seperti aksi, drama dan sains fiksyen,” katanya.
Mengenai proses penjurian, Azmir berkata, barisan juri FFM33 berdepan cabaran memilih filem yang layak untuk ke peringkat akhir, setiap tahun.
“Pada tahun ini, kami menerima lebih daripada 100 pencalonan filem mungkin disebabkan sudah dua tahun FFM tidak dianjurkan. Filem dihantar juga melebihi daripada jumlah sebelum ini kerana banyak terkumpul,” ujarnya lagi.
Ditanya kualiti tujuh filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik, kata Azmir, kesemua tujuh filem memang berkualiti dan layak untuk berada dalam kategori Filem Terbaik dan sudah dianggap sebagai pemenang.
“Setiap filem berjaya dalam kategori Filem Terbaik ada kekuatannya seperti filem Imaginur, Rain Town dan Sheriff. Ini kerana pembikinannya bagus dan mendapat kutipan pecah panggung, tahun ini.
“Secara kasar, sudah nampak saingan sengit filem Abang Adik arahan Jin Ong yang mendapat
11 pencalonan dan Imaginur arahan Nik Amir Mustapha mendominasi 15 daripada 24 pencalonan,
“Namun, Abang Adik ada kelebihan kerana sudah banyak ditayangkan di festival luar negara dan dapat pengiktirafan antarabangsa.
“Saya melihat barisan juri akan berhadapan dengan cabaran sukar memilih filem terbaik. Kami ada bincang dengan pihak penjurian, walau apapun kena ada pemenang,” jelasnya.
Mengulas ketelusan barisan juri, Azmir berkata, Finas yakin barisan juri menilai dari semua aspek dan sudut serta menonton filem yang bertanding banyak kali kerana FFM ada ciri-ciri filem yang ingin diketengahkan.
“Saya pasti setiap juri ada pengamatan apa yang mereka nak sampaikan atau kenapa pilih naskhah untuk diangkat sebagai Filem Terbaik.
“Sebab itulah kami nak beri penekanan kepada juri sebab saya melihat FFM bakal melahirkan panel juri yang profesional dan berpengalaman.
“Finas juga akan membantu beri peluang kepada barisan juri dari Malaysia untuk menjadi panel juri di peringkat antarabangsa supaya mereka dapat menimba ilmu di luar negara,” katanya.
Pada masa sama, Azmir berkata, Finas sudah memaklumkan kepada pihak Sekretariat supaya ketua juri akan diminta beri sedikit ulasan mengenai pemilihan Filem Terbaik.
“Selepas malam kemuncak FFM33, kami akan beri peluang kepada wakil media untuk bertanya kepada juri mengenai kriteria Filem Terbaik yang dipilih.
“Kami mahu pembikin filem tempatan mengetahui kriteria yang barisan juri lihat kepada pemenang kategori Filem Terbaik dan mungkin saya nak dokumenkan perkara ini,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Azmir berkata, persiapan untuk malam kemuncak FFM33 berjalan lancar seperti direncanakan.
“Kami juga mahu uar-uarkan, FFM33 bukan sahaja dianjurkan bagi meraikan industri dan karyawan seni, tapi kita berada dalam bulan bencana banjir. Kami sudah maklumkan kepada hos dan penulis skrip supaya sentiasa mengingati penonton untuk menjaga keselamatan keluarga pada musim banjir.
“Kementerian Komunikasi akan buat pengumuman pada malam kemuncak FFM33 untuk membantu mangsa banjir,” katanya.
FFM 33 akan disiarkan secara langsung dari TV2 dan YouTube FINAS.