PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggariskan tujuh tindakan bagi memperbaiki pencapaian murid dalam subjek Sains dan Matematik.
Inisiatif tersebut diambil susulan pencapaian menurun Malaysia dalam kajian perbandingan antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023 yang memperoleh purata skor matematik 411 mata berbanding TIMSS 2019 (461), dengan perbezaan sebanyak 50 mata.
Walau bagaimanapun, purata skor individu murid Malaysia merekodkan pencapaian tertinggi sejak negara menyertai TIMSS pada 1999 iaitu sebanyak 789 mata, selain 126 murid pula memperoleh aras penandaarasan antarabangsa tertinggi dengan purata skor 625 mata ke atas.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, penilaian bilik darjah (PBD) dan ujian akhir sesi akademik (UASA) akan diperkasakan dengan penerapan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) termasuk memperkukuhkan aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Inisiatif ini adalah antara salah satu tindakan KPM untuk menambah baik pencapaian matematik dan sains dalam kalangan murid sekolah menengah.
Beliau menjelaskan, kualiti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah perlu ditambah baik bagi meningkatkan pemahaman dan minat murid terhadap dua mata pelajaran itu.
“Pembelajaran yang menyeronokkan (fun learning) untuk menimbulkan minat dan keyakinan murid terhadap Matematik dan Sains akan diberi keutamaan.
“Guru perlu lebih proaktif menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menekankan kepada pemahaman konsep asas, KBAT, aktiviti hands-on, penyelesaian masalah dan menggalakkan perbincangan dalam kumpulan,” katanya dalam sidang akhbar khas Pelaporan Pencapaian Malaysia Dalam TIMSS 2023, di KPM, semalam.
Kajian TIMSS 2023 merupakan pentaksiran Matematik dan Sains berasaskan kurikulum disertai oleh 8,780 kohort murid Tingkatan Dua dari 180 buah sekolah terpilih di seluruh negara, dijalankan dari 4 September sehingga 12 Oktober tahun lalu.
Soal selidik TIMSS 2023 dilaksanakan dalam tempoh empat tahun sekali turut dilengkapkan oleh 313 guru yang masing-masing mengajar Matematik dan Sains kepada murid sampel TIMSS, selain turut melibatkan 180 pengetua sekolah.
Sebanyak 44 negara dan tiga peserta penanda aras menyertai TIMSS 2023 yang melaksanakan ujian dan soal selidik dalam tiga domain kognitif iaitu mengetahui, mengaplikasi dan menaakul bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan.
Pentaksiran domain kandungan matematik meliputi nombor, algebra, geometri dan pengukuran, serta data dan kebarangkalian, manakala pentaksiran domain kandungan sains pula merangkumi biologi, kimia, fizik dan sains bumi.
Dalam pada itu, Azman berkata, peratus pencapaian Matematik dan Sains TIMSS 2023 memberi gambaran bahawa murid kurang pengetahuan serta konsep asas Matematik dan Sains sejak dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah.
Berdasarkan dapatan soal selidik, guru Malaysia menyatakan 40.8 peratus murid tiada pengetahuan atau kemahiran asas dalam Matematik, manakala 26.5 peratus dalam Sains.
“Kelemahan penguasaan murid dalam pengetahuan, konsep serta kemahiran asas Matematik dan Sains menjadi semakin ketara apabila berlaku penutupan sekolah sewaktu pandemik Covid-19.
“Kohort murid sampel TIMSS 2023 ketika itu berada di tahun lima (pada tahun 2020) serta di tahun enam (2021).
“Program intervensi secara bersasar akan dilaksanakan kepada murid tahap dua yang tidak menguasai konsep asas Matematik dan Sains, sebelum mereka meneruskan pelajaran pada peringkat menengah,” katanya.
Azman berkata, antara inisiatif lain yang akan dilaksanakan KPM ialah penubuhan Jawatankuasa Perancangan Strategik Pencapaian Penandaarasan Antarabangsa (JPSPPA) yang akan merancang dan memantau langkah intervensi yang lebih berstruktur dan sistematik.
Katanya, latihan pedagogi guru dan penataran kerangka pentaksiran akan diperkukuhkan selain mengadakan sesi libat urus, webinar khas dan persidangan meja bulat pencapaian Malaysia dalam TIMSS.
“Penggunaan peranti dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) diperkasakan dan menjawab soalan pentaksiran termasuk Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL),” katanya. – UTUSAN